Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM persoal bantuan kewangan Putrajaya pada mangsa banjir

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu kerajaan persekutuan menjelaskan kenapa Putrajaya boleh memberi bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada mangsa banjir Kelantan dan tidak kepada mangsa banjir Pulau Pinang.

"Kenapa Pulau Pinang tidak mendapat bantuan sebegitu?

"Kami harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bersimpati dengan masalah ini dan penderitaan mangsa banjir sepertimana yang beliau saksikan sendiri pada 7 November lalu semasa lawatan beliau ke Seberang Perai, Pulau Pinang," kata Lim dalam ucapan penggulungan bajet 2018 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Lim merujuk pengumuman Najib pada 7 November bahawa Pulau Pinang memerlukan RM 1 bilion untuk projek tebatan banjir, berkata beliau sebelumnya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Tetapi Lim terus mendesak Najib untuk meluluskan peruntukan bagi Pulau Pinang mengatakan perdana menteri tidak membuat sebarang pengumuman baru pada 7 November lalu, walaupun setiausaha kerajaan negeri Farizan Darus telah memberi taklimat kepada beliau berkenaan situasi banjir di pulau mutiara itu.

Memandangkan kutipan derma mencurah-curah masuk untuk mangsa banjir, kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk memberi mereka bantuan sebanyak RM700, peningkatan sebanyak RM200 daripada jumlah RM500 yang diumumkan sebelum ini.

Lim juga membidas pihak pembangkang negeri yang dilaporkan berkata bantuan kewangan bagi mangsa banjir hanya akan diberikan kepada mereka yang menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Lim berkata dakwaan sebegitu 'berniat jahat' kerana kerajaan Pulau Pinang tidak mengamalkan diskriminasi dalam hal memberi bantuan kewangan.

"Kami beri kepada semua orang. Kamu boleh lihat ketika kami memberikan bantuan tahunan RM100 kepada warga emas, tanpa membezakan mereka ahli Umno, MCA, MIC dan Gerakan," kata beliau sambil menunjukkan salinan laporan berita akhbar harian berbahasa Melayu yang memaparkan kenyataan pemimpin pembangkang negeri Datuk Jahara Hamid (BN- Teluk Ayer Tawar).

Jahara dipetik sebagai berkata dalam laporan Utusan Malaysia pada 9 November lalu bahawa kerajaan negeri perlu memperjelaskan kaedah agihan bantuan banjir.

Beliau membangkitkan persolanan jika derma awam masuk terus ke akaun DAP Pulau Pinang.

"Bantuan pihak luar begitu banyak dan dikumpulkan dalam tabung DAP. Jangan pula mereka minta mangsa banjir mendaftar masuk ke parti itu sebelum bantuan disalurkan. Ini tidak betul dan mereka perlu malu sekiranya perkara ini dilakukan,” kata Jahara.

Untuk itu, Lim menggesa Jahara untuk menunjukkan bukti kerajaan negeri hanya memberikan bantuan kepada anggota HARAPAN sahaja.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS