Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi pusat tunggu senarai nama mangsa banjir agih wang ihsan

PARLIMEN | Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengagihkan bantuan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang selepas menerima senarai nama mereka daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata selain bantuan wang ihsan, bantuan lain seperti kit makanan permulaan, kit kebersihan, tilam, bantal telah diagihkan kepada mangsa banjir.

"Selain itu penghadang turut dipasang di pusat pemindahan untuk menjaga privasi mangsa banjir," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan berkata seramai 3,477 anggota agensi beruniform dan bukan beruniform turut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan seperti perubatan, sokongan teknikal, kawalan keselamatan untuk memastikan kebajikan mangsa banjir berada pada tahap tinggi dan terjaga.

Bantuan turut disalurkan daripada badan bukan kerajaan dalam dan luar Pulau Pinang, selain sektor korporat dan orang perseorangan, katanya.
 

Shahidan menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang meminta penjelasan punca banjir besar berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini walaupun terdapat elemen hujan lebat yang luar biasa dan fenomena air pasang di negeri itu.

Sehingga 7 Nov lepas, Shahidan berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu adalah seramai 7,680 melibatkan 1,722 keluarga yang ditempatkan di 71 pusat pemindahan.

Sementara itu, beliau berkata pembangunan di cerun, lereng bukit dan penambakan laut di Pulau Pinang telah menyebabkan kemusnahan ekosistem dan ekologi di negeri itu.

Katanya, insfrastruktur parit yang tidak dinaik taraf seiring dengan pembangunan semasa menyebabkan kapasiti air hujan yang meningkat tidak dapat ditampung sebaiknya.

"Sebelum ini kawasan Seberang Prai hanya untuk pertanian dan kebanyakan infrastruktur yang dibina ketika itu hanya mengambil kira sistem saliran pertanian, namun kini tebus guna dan perubahan guna tanah bagi tujuan perindustrian dan perumahan telah menukar corak kegunaan saliran," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS