Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jabatan Belia dan Sukan tak terlibat lantik pembekal'

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) tidak terlibat dengan lantikan pembekal atau kontraktor bagi penganjuran program sukan yang menggunakan peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia JBSN, Mohd Ghani Mohd Yusof berkata lantikan itu dibuat oleh persatuan yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan di bawah KWASN bagi penganjuran program sukan.

"JBSN hanya bertanggungjawab dalam membentangkan permohonan dan jumlah peruntukan yang dipohon oleh mana-mana persatuan yang akan menganjurkan program sukan, kelulusan permohonan dibuat oleh jawatankuasa mesyuarat KWASN dan lantikan pembekal dilakukan oleh persatuan yang buat permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Amer Abu Bakar Abdullah pada perbicaraan kes bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arshad, 58, yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, empat tahun lepas.

Ketika kejadian, Mohd Ghani yang merupakan saksi pendakwaan ke-30 adalah Timbalan Ketua Pengarah (Sukan) JBSN, bermula Oktober 2012 hingga Mei 2013.

Tuduhan salah guna kedudukan

Mohd Ghani, 58, berkata Otman tidak pernah mencadangkan nama syarikat Gapa Jitu Sdn Bhd, GPO Essence Sdn Bhd, Enconic Corporation Sdn Bhd dan Dial Ex Sdn Bhd, untuk dilantik sebagai pembekal atau kontraktor ketika mesyuarat jawatankuasa KWASN diadakan.

Mohd Ghani juga berkata tiada sebarang program sukan anjuran pejabat Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang menggunakan peruntukan di bawah KWASN.

Otman yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Majlis Sukan Negara (MSN), Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di sini, antara 28 Feb 2012 hingga 18 Nov 2015.

Bagi 15 tuduhan menyalahgunakan kedudukan, Otman didakwa mengarahkan Pengarah Bahagian Kewangan MSN Abdul Rashid Yaakub untuk membuat bayaran berjumlah RM2,161,000 kepada syarikat Dial Ex Sdn Bhd, yang dimiliki dua anaknya, bagi pelbagai program kementerian antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi 17 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu, Otman didakwa memberi surat pembayaran melalui akaun kementerian kepada Pengarah Bahagian Kewangan MSN Abdul Rashid Yaakub untuk bayaran pelbagai program kementerian berjumlah RM36,310,400 kepada tiga syarikat milik rakannya mengikut Seksyen 18 akta sama yang memperuntuk hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS