Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mana feminis dalam isu larangan tudung, soal Pemuda Isma
Diterbitkan:  Nov 14, 2017 7:05 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mempersoalkan pendirian kumpulan feminis dan badan-badan hak asasi wanita dalam isu larangan memakai tudung terhadap kakitangan wanita Islam yang berkhidmat di kaunter hadapan hotel.

Ketua Pemudanya, Muhammad Farid Hussein mendakwa mereka dilihat berdiam diri meskipun ramai pihak membantah tindakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan larangan berkenaan.

“Tetapi satu trend yang sama berlaku, yang mana pihak feminis dan badan-badan yang kononnya memperjuangkan hak asasi wanita senyap sunyi dan langsung tidak mengecam tindakan sesetengah hotel dan juga alasan bodoh pihak MAH.

“Adakah hak asasi wanita hanya relevan bila mana ia berkaitan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam?

“Apakah pegangan sebenar badan-badan wanita Islam yang lantang memperjuangkan hak asasi wanita, tetapi bisu dalam perkara yang melibatkan hak wanita Islam, adakah al-Quran dan sunnah atau kitab lain?” katanya lagi.

Justeru Farid berkata, Pemuda Isma menyeru kerajaan dan pihak berkuasa bersikap jantan dalam mempertahan hak dan perkara yang melibatkan Islam, Agama Persekutuan Malaysia, termasuk hak wanita Islam untuk hidup bersyariat di negara ini.

Katanya, sebelum ini ada segelintir pihak mencemuh tindakan yang kelihatan seperti mendiskriminasi masyarakat bukan Islam, seperti kedai dobi ‘Mesra Muslim’.

“Tetapi kenapa tindakan pantas ini jarang berlaku dalam isu yang melibatkan kepentingan agama Islam?

"Adilkah apabila orang Melayu Islam, penduduk asal negara ini, dilayan seperti penduduk kelas kedua di tanah air sendiri?,” katanya.

Kontroversi mengenai larangan itu bermula apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendakwa ada pekerja hotel wanita yang mengadu diarahkan menanggalkan tudung.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan praktikal.

MAH bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel berkenaan dengan mengatakan ia sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.

Susulan itu MAH menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak termasuk daripada parti-parti politik sama ada dari kerajaan mahupun pembangkang.

Mengulas lanjut, Muhammad Farid berkata, satu perkara asas yang mesti diikuti dalam dalam setiap polisi atau SOP syarikat ialah kewajipan untuk patuh terhadap undang-undang tempatan.

“Justeru, alasan yang diberikan MAH menunjukkan dua perkara: sama ada hotel-hotel yang melaksanakan larangan pekerja wanita bertudung ini tidak mempunyai standard (sub standard) seperti syarikat-syarikat antarabangsa yang lain.

“Atau hotel-hotel ini sendiri telah melanggar polisi mereka sendiri, iaitu untuk patuh dan hormat pada undang-undang tempatan?” katanya.

Lihat Komen
ADS