Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kim Chol alami simptom diracuni organofostat'

Seorang pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini bahawa keadaan warga Korea Utara Kim Chol yang dibunuh adalah konsisiten dengan simptom dialami seseorang yang diracuni organofosfat, bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam agen saraf VX.

Pegawai Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr R. Kalyani, yang bertugas di jabatan kecemasan Hospital Putrajaya semasa Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh, berkata pemeriksaan luaran pada badan Kim Chol mendapati ia berbeza daripada kes biasa yang mereka selalu kendalikan.

"Biasanya, apabila seseorang pesakit yang dibawa sudah mati atau selepas 30 minit Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) atau ‘bantuan pernafasan’ diberikan, kedudukan anak mata tegak dan terbeliak. Tetapi pesakit ini (Kim Chol), kedudukan anak mata tegak tetapi mengecil. Pada kebanyakan masa, secara klinikal, ia akibat diracun, khususnya racun organofosfat," katanya.

Organofosfat amat bertoksik kepada manusia, lebah dan hidupan liar. Ia biasanya terdapat dalam racun serangga dan kebanyakannya dalam bentuk cecair.

Semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin semasa pemeriksaan utama, saksi ke-13 itu berkata apabila bahan itu dihidu atau disapu, ia boleh mengakibatkan beberapa simptom termasuk miosis iaitu anak mata mengecil.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan dua wanita, warga Indonesia Siti Aisyah, 25, (gambar, atas, tengah) dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, yang dituduh bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ( klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lepas.

Berhubung keadaan pesakit semasa dibawa ke hospital itu oleh pasukan paramedik, Dr Kalyani berkata tiada denyutan nadi dan menunjukkan tanda-tanda pesakit sudah tidak bernyawa.

Katanya selepas melakukan pemeriksaan sebaik sahaja Kim Chol tiba, mereka serta merta memberikan rawatan CPR selama 30 minit tetapi berhenti selepas itu kerana pesakit tidak memberikan sebarang reaksi dan tindak balas.

"Beliau tidak memberikan sebarang tindak balas… beliau tidak bernafas. Saya tidak tahu nama pesakit pada ketika itu. Saya mendapat tahu butiran dirinya selepas melihat pasportnya (tertera nama Kim Chol) yang dibawa oleh pasukan paramedik," katanya.

Dr Kalyani, berkata jururawat yang menghantar mangsa ke hospital memberitahunya mangsa ialah rakyat asing yang sedang dalam perjalanan ke satu destinasi yang mendakwa “sesuatu” disembur pada mukanya, semasa lelaki itu mendapatkan rawatan awal di Menara Medical Clinic di KLIA2.

Berpeluh, sawan dan kemudiannya pengsan

"Jururawat itu memberitahu saya pesakit boleh berjalan dan bercakap semasa tiba di klinik itu, kemudiannya beliau mula berpeluh, mengalami sawan dan kemudiannya pengsan di klinik itu,” katanya.

Dr Kalyani juga berkata jururawat itu turut memberikan rawatan resusitasi kepada pesakit semasa tiub dipasang pada pesakit dan juga diberikan ubat IV Adrenaline dan Atropine.

"IV Adrenaline merupakan ubat yang biasa digunakan untuk rawatan resusitasi manakala Atropine untuk meningkatkan kadar degupan jantung. Menurut jururawat kanan itu, pesakit telah pengsan dan mengalami beberapa ‘hypotension’ iaitu tekanan darah amat rendah dan degupan jantung pesakit amat lemah, sebab itu mereka memberikan dua ubat itu," katanya.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata beliau tidak dapat mengesahkan waktu tepat kematiannya kerana mereka tidak pasti bila dia sebenarnya sudah tidak bernyawa.

Mahkamah turut mendengar keterangan saksi ke-14 dan ke-15 iaitu koperal polis yang mengiringi kedua-dua tertuduh ke Hospital Putrajaya pada 16 Feb, 2017 untuk mendapatkan sampel DNA mereka.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

 

-Bernama



 

Lihat Komen
ADS