Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Kerajaan telah melanjutkan kontrak konsesi 30 tahun Express Rail Link (ERL) selama 30 tahun lagi, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Karpawi

Beliau memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa lanjutan itu diberikan susulan tindakan kerajaan yang menolak permintaan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) untuk mengkaji semula tambang kereta api itu sebanyak tiga kali.

Beliau mendedahkan mengikut kontrak awal 30 tahun itu, yang akan tamat pada 2029, ERL berhak mengkaji semula tambang setiap lima tahun.

“Kontrak ini akan habis 2029, 30 tahun, tetapi oleh kerana kita buat perjanjian awal rejim dulu pada 2002, telah ada satu sistem, setiap lima tahun boleh review tambang, dia tak review tiga kali.

“Sampai 2016, kerajaan buat pendekatan, tambang kita bukakan, tapi kita letak siling (pada RM64), bila kita tidak benarkan kenaikan, sepatutnya kita beri pampasan, tapi kita panjangkan konsesi 30 tahun.

“Selepas 30 tahun, kerajaan tidak bayar lagi caj servis penumpang (PSC), selepas 2029, kerajaan tidak bayar lagi,” katanya semasa sesi soal jawab.

Sementara itu, Abdul Aziz juga berkata, MAHB bagi pihak kerajaan telah mengemukakan bayaran PSC kepada ERL sejak 2002 hingga September 2017, dengan jumlah bayaran keseluruhan RM741,234,295.

Menurutnya, sejak ERL mula beroperasi, kadar purata bilangan penumpang adalah 5.4 juta orang setahun.

Namun pada 2015 terdapat peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya 11.03 juta orang.

“Bagaimanapun, peningkatan kadar tambang ERL pada 2016 telah menyaksikan penurunan kadar bilangan penumpang sebanyak 19 peratus, menjadi 8.9 juta orang,” katanya menjawab soalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) mengenai jumlah keseluruhan yang dibayar MAHB kepada ERL sejak 2002.

Abdul Aziz berkata ERL juga mengalami kerugian selepas tahun kewangan cukai selama enam tahun berturut-turut iaitu 2009 hingga 2014.

“Sehingga tahun 2016, kerugian selepas cukai terkumpul adalah RM661.34 juta,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai diskaun bagi tambang ERL, Abdul Aziz berkata diskaun 30 peratus ditawarkan kepada warga emas, orang kurang upaya dan pelajar.

“Bagi pengguna kerap, terdapat pas bulanan. Jika individu itu bekerja di KLIA, dia boleh dapat sehingga 82 peratus diskaun (bagi penggunaan KLIA transit).

“Selain itu, diskaun juga diberi bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan dalam talian (10 peratus) dan Visa payWave (15 peratus). Banyak kemudahan diskaun diberi kepada rakyat tempatan,” katanya.

Lihat Komen
ADS