Berkecuali di parlimen: PAS istiqamah
Diserang dengan kecaman oleh pembangkang hari ini seorang pemimpin PAS menyenaraikan anggota parlimen yang pernah bersikap berkecuali semasa pengundian di Dewan Rakyat.
Kata Idris Ahmad, pengkritik PAS perlu membuat renungan dan berfikir berdasarkan fakta sebelum mengecam parti itu.
"Simpan sikit nafsu yang hendak marah kepada PAS," katanya yang juga naib presiden PAS.
Menurut Idris dalam keadaan dikritik pun PAS tetap tenang dan bersahaja.
Dalam kenyataannya hari ini anggota parlimen Bukit Gantang ituu menyenaraikan 23 wakil rakyat yang pernah bersikap berkecuali di parlimen.
Menyalinnya daripada handard (dokumen rasmi) parlimen, Idris memperincikan nama-nama anggota parlimen yang dimaksudkannya:
- Datuk Seri Abdul Hadi Awang
- Nik Abdullah Arshad
- Ahmad Nor
- Buniyamin Yaakob
- Chian Heng Kai
- Fong Kui Lun
- Foo Piew Kok
- Gooi Hock Seng
- Ibrahim Mahmood
- Karpal Singh
- Kerk Kim Hock
- Dr Kua Kia Soong
- Lau Dak Kee
- Liew Ah Kim
- Lim Kit Siang
- Saidin @ Yusof bin Adam
- Dr Sanusi Daeng Mariok
- Sim Kwang Yang
- Tan Kok Wai
- Tan Seng Giaw
- Wan Mohd Jamil Wan Mahmood
- Wee Choo Keong
- Wong Wing On
Daripada jumlah itu 16 adalah anggota parlimen DAP.
Undian berkenaan dijalankan speaker Dewan Rakyat pada 19 Januari 1993 bagi meluluskan rang undang-undang (RUU) mewujudkan sebuah mahkamah khas bagi menghapuskan kekebalan raja-raja Melayu.
Untuk rekod suasana politik ketika itu menyaksikan PAS bekerjasama dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, manakala DAP bergerak sebagai Gagasan Rakyat - juga dengan Semangat 46.
Apabila undian secara belah bahagi selesai dijalankan RUU itu diluluskan dengan 133 anggota parlimen menyokong dan 23 berkecuali.
Isu anggota parlimen berkecuali itu kembali menarik perhatian apabila 11 wakil PAS mengambil sikap sedemikian selepas Belanjawan 2018 dibahaskan di Dewan Rakyat.
Apabila undian secara belah bahagi dijalankan 107 anggota parlimen menyokong, 59 menolak dan 11 - semuanya PAS - berkecuali.
Pendirian itu kemudian mengundang pujian daripada anggota Majlis Tertiggi Umno yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
PAS mempunyai 14 wakil di Dewan Rakyat. Daripada jumlah itu dua daripada mereka - Abdul Hadi (Marang) dan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun) - tidak hadir.
Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) pula mengambil sikap tersendiri apabila bersama anggota parlimen Pakatan Harapan menolak usul berkenaan.
Kata Idris PAS menjangkakan akan ada hujah lain untuk menghalalkan kemarahan pengkritik kepada partinya.
"Nanti ada jawapan balas mereka yang marah pada PAS - ini isu lain, bukan bajet. Biasalah. Terpulanglah. PAS tetap istiqamah," katanya.

