Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Hubungan M'sia - Arab Saudi diselubungi rahsia
Diterbitkan:  Nov 15, 2017 8:42 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa polisi antarabangsa Malaysia kebelakangan ini diselubungi rahsia, terutamanya dalam hubungannya dengan Arab Saudi.

Katanya, ia bukan disebabkan persefahaman politik atau idealogi tetapi atas sebab lain atau "mengharapkan sesuatu" dari negara itu.

"Kebelakangan ini Malaysia kelihatan mengikut rapat mengekori tindak tanduk Arab Saudi.

"Apabila Arab Saudi menjalankan latihan perang Northern Thunder dengan sekutu rantau Arab dan Afrika tahun lepas, Malaysia merupakan negara tunggal dari Asia dan luar benua Arab-Afrika' mengambil bahagian.

"Negara Turki yang lagi dekat pun tidak menyertainya," kata Raja Kamarul dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut membangkitkan mengapa Malaysia turut serta di pusat operasi perang di Riyadh apabila Arab Saudi menyerang Yaman bersama sekutunya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

"Laporan PBB pada Januari 2017 setebal 240 muka menyatakan kemungkinan besar Malaysia bersama sekutu Arab Saudi terlibat dalam jenayah perang pembunuhan puluhan ribu rakyat Yaman yang terdiri orang awam serta anak kecil dan wanita," kata Raja Kamarul.

Menurutnya, apabila beliau bertanya di parlimen, kerajaan memberi alasan kerana latihan perang Northern Thunder dan misi pengeluaran rakyat Malaysia dari Yaman.

"Arab Saudi banyak terlibat secara sulit dengan persengketaan rantau Timur Tengah yang berlaku termasuk dengan pihak pelampau di Syria dan Iraq. Perlu juga diingat Arab Saudi adalah sekutu rapat Amerika.

"Sekarang Arab Saudi nampaknya terlibat juga dengan masalah dalaman terbaru di Lebanon. Adakah Malaysia akan turut terlibat juga dalam isu ini," soalnya.

Tak wajar beri tanah

Katanya, tindakan kerajaan juga tidak wajar menghadiahkan tanah seluas 16 hektar untuk kerajaan Arab Saudi bagi membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.

Malah jelas beliau perkara itu turut dibantah seorang pegawai  dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri yang dikenali dengan sikap agresifnya.

Beliau dipercayai merujuk kritikan penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak "kurang cerdik" apabila membenarkan pembinaan pusat memerangi keganasan itu.

"Mungkin pegawai tersebut dengan sikap agresifnya sendiri lebih kenal siapa pengganas sebenarnya yang tidak patut diberikan tanah untuk pusat anti keganasan," katanya.

Lihat Komen
ADS