Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA tanggung kos pengebumian keluarga Swee Bok
Diterbitkan:  Nov 15, 2017 11:26 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

MCA akan menanggung kos pengebumian anggota keluarga Ketua Pemuda Bahagian Tanjung, Lim Swee Bok yang kehilangan ibu, isteri dan dua anaknya dalam kebakaran awal pagi tadi.

Ketua Pemuda, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya juga akan membantu urusan dokumentasi dengan Kedutaan China di Pulau Pinang memandangkan isteri Swee Bok merupakan rakyat negara berkenaan.

“Kita akan selesaikan semua urusan dokumentasi hari ini juga supaya semua mayat mendiang dapat dibawa pulang ke rumah segera bagi upacara pengebumian,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan II ditemui pemberita ketika melawat Swee Bok di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di Pulau PInang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi tadi, empat ahli keluarga Swee Bok iaitu ibu, isteri dan dua anak lelaki dan perempuannya rentung selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Pengkalan Weld terbakar.

Sementara itu, Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng turut mengumumkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada Swee Bok bagi meringankan beban akibat tragedi itu.

Ujarnya, keluarga Swee Bok sangat dikenali masyarakat memandangkan kerja-kerja kemasyarakatan yang dijalankan Swee Bok yang turut aktif dalam Majlis Belia negeri selaku residen.

Lihat Komen
ADS