Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bajet 2018: Pembantu Rosmah puji PAS berkecuali
Diterbitkan:  Nov 16, 2017 12:00 AM
Dikemaskini: 5:20 PM

Pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor berkata beliau menghormati pendirian ahli-ahli parlimen PAS mengambil sikap berkecuali ketika pengundian Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

Sebaliknya beliau menyelar parti pembangkang khususnya dari Pakatan Harapan kerana menolak bajet yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.

"Perbuatan pembangkang yang membangkang secara buta tuli inilah yang disebut ‘bangkang dari longkang’.

"Sedangkan ternyata bajet ini baik untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan termasuklah untuk kaum Cina, India dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Bajet 2018 diluluskan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 13 November lalu dengan undian 107 daripada 222 anggota parlimen menyokong.

Sebanyak 59 anggota parlimen menentang Rang Undang-Undang Perbekalan 2018, sementara 11 daripada PAS berkecuali.

'Bagaimana nak bayar gaji pembangkang?'

Rizal berkata, PAS mengambil sikap berkenaan kerana mampu menilai banyak perkara yang membawa kebaikan untuk rakyat.

"Tolak belanjawan 2018, maknanya tolak bantuan BR1M untuk rakyat, tolak kenaikan gaji dan bonus khas kakitangan awam dan tolak bantuan pendidikan dan pembangunan untuk negara," katanya.

Katanya, meskipun tugas pembangkang untuk melakukan 'semak dan imbang', namun sebagai wakil rakyat mereka tidak seharusnya semata-mata menjadi pembangkang.

"Apakah dengan menolak bajet ini bermakna DAP juga menolak menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan menolak bantuan untuk pekebun kecil serta dana kampung Cina di seluruh negara?

"Juga, bagaimana kerajaan nak bayar gaji dan elaun ahli parlimen pembangkang jika mereka menolak belanjawan ini?"soalnya.

Lihat Komen
ADS