Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

GLOBAL Perlanggaran melibatkan dua tren Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) di stesen Joo Koon, Singapura merupakan insiden kedua dalam sejarah 30 tahun MRT beroperasi, lapor Channel NewsAsia semalam.

Laporan itu berkata insiden pertama berlaku pada 5 Ogos, 1993, enam tahun selepas sistem SMRT mula beroperasi pada 1987.

Ia melibat perlanggaran antara dua tren di stesen Clementi dan menyebabkan 156 penumpang cedera.

Sesetengah daripada mereka tercampak pada panel dan susur besi atau bertimbun atas satu sama lain

Nahas itu berlaku kerana tren menuju ke timur dari Jurong berhenti di stesen MRT Clementi selama dua minit lebih lama daripada dijadualkan kerana kesilapan teknikal.

Laporan itu berkata operasi di ketiga-tiga stesen terlibat, Clementi, Buona Vista dan Commonwealth, disambung semula dalam sehari selepas pemeriksaan intensif dijalankan oleh jurutera dari SMRT, ketika itu dikenali sebagai Mass Rapid Transit Corp (MRTC).

Panel penyiasat bebas ditubuhkan untuk menjalan siasatan mengenai insiden itu.

Pada 19 Oktober, panel penyiasat berkata nahas itu disebabkan oleh tumpahan minyak sejauh 50 liter dari lokomotif penyelenggaraan, yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kira-kira pukul 5 pagi pada hari kemalangan.

Panel penyiasat juga bekata nahas itu dapaty dielakan jika kakitangan memahami tentang betapa serius nya keadaan dan menangani tumpahan minyak secara agresif atau segera”.

Susulan dapatan itu, MRTC menyemak semula prosedur operasi standard menghendaki stesen master memeriksa trek platform untuk mengesan minyak dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan sekiranya berlaku tumpahan minyak.

Dalam pada itu, pengendali tren mengumumkan rancangan untuk membeli lokomotif baharu bagi menggantikan lokomotif sedia ada untuk penyelenggaraan trek kerana lokomotif baharu tidak terdedah kepada kebocoran hidraulik yang sama.

Perlanggaran semalam menyaksikan 28 penumpang termasuk dua kakitangan SMRT mengalami kecederaan ringan.

Sistem SMRT membentuk komponen utama sistem kereta api di Singapura dengan rangkaian meliputi laluan sepanjang 198.6 kilometer dan mempunyai 119 stesen.

Lapan laluan itu dibina oleh Penguasa Pengangkutan Darat, sebuah lembaga berkanun Kerajaan Singapura, dan tren tersebut dikendalikan oleh SMRT Corporation dan SBS Transit.

Operasi dihenti sementara

Sementara itu, operasi perkhidmatan kereta api dari stesen Joo Koon ke Tuas Link dalam laluan Timur-Barat dihentikan buat sementara waktu, kata SMRT Corporation, pengendali perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Singapura.

Dalam makluman terkininya di laman Twitter pagi ini, SMRT berkata perkhidmatan bas biasa dan pengantara percuma beroperasi antara stesen sepanjang hari.

Dalam kejadian awal pagi Rabu, sebuah kereta api SMRT melanggar sebuah lagi kereta api yang tidak bergerak di stesen Joo Koon, menghala ke barat, ke stesen Tuas Link.

Dalam makluman terkini Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) menyatakan 27 penumpang dan dua staf SMRT cedera.

Terdapat lima hentian ke stesen Tuas Link dari stesen Joo Koon.

Laluan Timur-Barat , yang lebih dikenali sebagai ‘Green Line’ mempunyai 35 stesen bermula dari Tuas Link hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Penemuan awal oleh LTA menunjukkan kereta api pertama meninggalkan Depoh Ulu Pandan dengan ciri perisian perlindungan tetapi ciri itu tanpa disedari dikeluarkan apabila kereta api pertama melepasi sebuah litar isyarat yang rosak.

Kereta api itu kemudiannya tiba di stesen Joo Koon tanpa ciri perlindungan itu, mengakibatkan keretapi pertama memberikan profilnya sebagai kereta api tiga gerabak kepada sistem isyarat yang baharu, bukannya sebagai kereta api enam gerabak.

Natijahnya, kereta api kedua mengesan keretapi pertama sebagai kereta api tiga gerabak dan tersilap anggaran jarak antara kedua-dua kereta api dan mengakibatkan perlanggaran, kata LTA.

Sejumlah 517 penumpang berada di dalam kereta api yang sedang bergerak dalam kelajuan 16km/jam semasa berlanggar dengan kereta api yang tidak bergerak itu.

- Bernama


 

Lihat Komen
ADS