Kira-kira 500 umat Islam mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur hari ini sebagai membantah pembunuhan umat Islam di wilayah selatan negara itu.

Berikutan itu, Pemuda PAS pusat turut menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Thai terhadap penggunaan undang-undang darurat sebagai lesen untuk membunuh umat Islam di wilayah berkenaan.

Mereka juga membawa sepanduk yang antara berbunyi "Hentikan Pembunuhan" sambil melaungkan`Thaksin Pembunuh'. Kira-kira 100 anggota polis berkawal di situ bagi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Berucap selepas menyerahkan memorandum tersebut, Ketua Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata, undang-undang darurat itu membenarkan tentera melakukan apa sahaja, termasuk menculik dan membunuh umat Islam, sepertimana di Takbai beberapa bulan lalu.

Menurutnya, undang-undang darurat tersebut membolehkan pasukan beruniform menahan suspek selama 30 hari tanpa tuduhan atau tanpa perbicaraan, mengeledah dan menangkap tanpa waran umat Islam di selatan negara itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapat tahu ramai penduduk Islam di Selatan Thailand, termasuk imam diculik sama ada di waktu tengah malam atau di sekatan jalan raya sebelum dibunuh.

"Undang-undang darurat tersebut menghalang penduduk menikmati kebebasan, menjalani kehidupan harian serta mengamalkan agama mereka," katanya ketika berucap selepas menghantar memorandum tersebut.

Hadir sama ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shahrin.

Letupan mercun

Salahuddin juga berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pengerusi Gerakan Negara Berkecuali (NAM) perlu memberi nasihat kepada Thaksin bahawa tindakan pasukan beruniform membunuh umat Islam, tidak disenangi oleh negara lain.

Sementara itu, dalam ucapannya Mohammad Sabu berkata, wilayah selatan Thailand tidak akan aman selagi pihak tentera mengamalkan pendekatan membunuh umat Islam.

Katanya, sejak dua tahun kebelakangan ini, demokrasi di Thailand yang dipimpin oleh Thaksin, semakin luntur dan umat Islam ditekan dan ditindas.

"Thaksin membunuh orang Islam secara terancang. Beliau menggunakan kekuatan senjata untuk tujuan itu," katanya.

Dalam memorandum itu, Salahuddin berkata, umat Islam di Malaysia mengikuti perkembangan tersebut secara dekat kerana hubungan mereka amat erat.

Katanya, umat Islam di negara ini akan membela rakan mereka di Selatan Thailand dan merancang mengadakan perhimpunan yang lebih besar jika pembunuhan tidak dihentikan segera.

Selepas ucapan tersebut dan perhimpunan mulai bersurai, tiba-tiba terdengar bunyi letupan yang mengejutkan orang ramai di sekitar kawasan itu. Anggota polis yang memeriksanya mendapati ianya adalah letupan mercun.