Berita Malaysiakini

'Gaji penjawat awam kekal sekali sebulan'

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan, seperti laporan sebuah portal berita mesra Umno, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti yang dilaporkan itu adalah di Brunei dan bukan negara ini.

"Saya tidak pernah dengar mengenai (pelaksanaan) gaji dua kali sebulan ini. Jangan dengar khabar angin.

"Setakat ini, kita kekal pembayaran gaji sekali sebulan," katanya yang dipetik Berita Harian Online.

Dua hari lalu, portal Mynewshub mendakwa mendapat maklumat bahawa penjawat awam negara ini akan menerima gaji dua kali sebulan iaitu pada pertengahan dan akhir bulan dalam masa terdekat.

Portal itu mendakwa, langkah berkenaan dikatakan bertujuan membantu penjawat awam menguruskan perbelanjaan harian dan kaedah berkenaan tidak membabitkan pesara kerajaan.

Sebelum ini, idea gaji kakitangan awam dibayar dua kali sebulan pernah dicadang oleh perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sepatutnya dilaksanakan mulai Ogos 2008.

Namun, idea itu, tidak diteruskan setelah mendapat bantahan pelbagai pihak, khususnya oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).