Nahas SMRT: 5 rakyat M'sia dibenar keluar hospital, seorang masih dirawat
Lima daripada enam rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden perlanggaran tren SMRT dibenarkan keluar hospital pada hari Rabu, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.
“Seorang, bagaimanapun, masih berada di Hospital Universiti kebangsaan. Itulah satu-satunya maklumat yang diberikan kepada pihak kami setakat ini oleh pihak berkuasa di sini,” kata jurucakap suruhanjaya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) berkata enam penumpang rakyat Malaysia cedera dalam kemalangan tren itu.
"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapua bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau dan mendapatkan maklumat terkini insiden itu,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya.
Dua puluh sembilan penumpang cedera dalam insiden tersebut, 14 daripada mereka dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan 15 dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan.
Ketika waktu puncak pada pagi Rabu, seramai 517 penumpang berada dalam tren tersebut yang bergerak dengan kelajuan 16 km sejam apabila ia berlanggar dengan sebuah tren tidak bergerak di stesen Joo Koon di Jajaran Timur-Barat.
Dalam jawapan melalui e-mel kepada Bernama hari ini, SMRT Corporation, pengendali Laluan Timur-Barat tidak memberi apa-apa maklumat mengenai mana-mana penumpang yang cedera.
“Terima kasih kepada menulis mengenai perkara itu. Maaf, kami tidak dapat memberi apa-apa maklumat mengenai butiran pesakit berhubung insiden tersebut. Harap anda faham mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu.
- Bernama

