Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC syor pilih perunding, kontraktor projek berdasar keupayaan kewangan, teknikal
Diterbitkan:  Nov 16, 2017 3:41 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Parlimen (PAC) hari ini mengesyorkan supaya pemilihan perunding dan kontraktor bagi projek-projek khususnya fasiliti kesihatan berdasarkan keupayaan kewangan dan teknikal, terutamanya bagi lantikan secara terus.

Syor itu dibuat oleh jawatankuasa itu susulan kegagalan perunding dan kontraktor bagi Projek Naik Taraf Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor menepati terma-terma perjanjian yang telah dipersetujui seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2014 Siri 3.

Dalam laporan berhubung projek itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata jawatankuasa itu telah memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) yang diwakili Timbalan Ketua Setiausahanya Datuk Abdul Razak Jaafar dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan LKAN.

“Dalam mesyuarat itu, anggota PAC telah membangkitkan isu-isu seperti sijil perakuan siap kerja dikeluarkan setahun lebih awal, kelewatan membaiki kecacatan, kerugian tidak langsung, serta peranan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam pemantauan projek.

“PAC mendapati walaupun projek itu dilaksanakan secara rundingan terus serta reka dan bina JKR sepatutnya daripada awal harus meneliti kelemahan yang terdapat dalam beberapa komponen reka bentuk projek yang didapati tidak sesuai dan tidak mencapai standard hospital,” kata Hasan.

Sehubungan itu, beliau berkata KKR disaran menyenaraihitamkan perunding dan kontraktor projek itu ekoran kecuaian serta kelewatan projek manakala Kementerian Kewangan (MOF) pula harus harus mengkaji semula kaedah pelantikan dan pembayaran perunding supaya wujudnya proses ‘semakan imbang’.

Selain itu, katanya, MOF perlu mengkaji semula pekeliling berhubung penyediaan kenderaan untuk tapak projek, bagi memastikan ia benar-benar menepati keperluan projek berkenaan dan kenderaan terbabit menjadi hak milik kerajaan, bukannya pihak kontraktor.

“JKR juga harus mematuhi semua garis panduan mereka sendiri dan juga semua pekeliling yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan dalam proses pelaksanaan projek,” katanya.
Orang ramai boleh membaca Laporan PAC berhubung projek itu di laman web PAC (http://www.parlimen.gov.my/pac)

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS