Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamalanathan: Janji MIB untuk kaum India lebih kuat dari dasar

Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) tidak dibawa ke parlimen kerana janji kerajaan untuk melaksanakan dokumen rasmi bagi pembangunan masyarakat India itu lebih penting daripada sekadar dasar.

Pemimpin MIC, P Kamalanathan menjawab soalan anggota parlimen Kapar, G Manivanan yang mempersoalkan mengapa MIB tidak dimeterai di parlimen sebagai suatu dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Apabila seorang pemimpin negara (PM) bersama TPM ke pentas untuk menyatakan janji Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia untuk kaum India, saya rasa ini lebih kuat dari dasar,” kata anggota parlimen Hulu Selangor itu dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu Manivanan dalam sidang medianya mempersoalkan mengapa MIB tidak dibawa ke parlimen dan mengatakan perkara itu membuktikan MIC gagal membahaskan isu masyarakat India.

Mengulas lanjut, Kamalanathan yang juga timbalan menteri pendidikan berkata pelaksanaan MIB diterima baik komuniti itu dan beliau yakin dengan janji kerajaan.

“Untuk makluman juga kebanyakan perkara yang ada dalam MIB bukanlah suatu yang baru dalam perancangan, pelaksanaan dan sebagainya. Kita ada jangka masa. Kita telah tetapkan jangka masa.

“Kita juga wujudkan satu bahagian di bawah JPM untuk memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan berdasarkan jangka masa ditetapkan. Maka tidak harus ada apa-apa syak wasangka tentang keefektifan MIB. Kita kena percaya ia akan dilaksanakan.

“Ramai kaum India percaya ia akan menjadi satu kejayaan. Kita telah pun nampak perancangan yang dilaksanakan,” tegasnya.

Najib pada April lalu melancarkan MIB sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan kaum India bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Di bawah pelan itu, sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) khusus untuk memupuk tabiat menabung bagi golongan B40 kaum itu.

Selain itu kerajaan turut bersetuju untuk menubuhkan dana pusingan berjumlah RM500 juta bagi memenuhi keperluan pinjaman perniagaan komuniti tersebut.

Pada 19 Mei lalu kerajaan bersetuju menstruktur semula Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang bertindak sebagai entiti pelaksana kepada MIB.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata proses itu melibatkan perubahan skop tugas dan penambahan saiz tenaga kerja dengan 58 jawatan sepenuh masa.

Lihat Komen
ADS