Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanpa Samy Vellu, pembangunan di Sg Siput lembab seperti siput

LAPORAN KHAS I Memandu ke arah pedalaman Perak dari Ipoh di sepanjang jalan Kuala Kangsar dengan menempuh pekannya yang terkenal, banyak yang masih kekal tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.

Sebaik sampai di Sungai Siput, kita akan dapat menyaksikan jalan raya dengan laluan tiga lorong, lampu isyarat dan papan-papan tanda digital yang menjadi pemandangan biasa di Lembah Klang.

Pekan itu meskipun kecil, tetapi terdapat balai bomba, balai polis, sekolah, kemudahan sukan dan hospital.

Menurut penduduk setempat, banyak infrastruktur telah dibina sejak Tun S Samy Vellu menjadi anggota parlimen Sungai Siput selama lapan penggal dari tahun 1974 hingga 2008 apabila beliau ditewaskan oleh Dr D Michael Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penduduk lama di Sungai Siput, Chew Eng Kiat, 63, berkata ini adalah sebab mengapa ramai penduduk tempatan masih akrab dengan Samy Vellu hampir satu dekad lamanya.

"Ketika Samy Vellu ada di sini, banyak yang dia lakukan kerana dia adalah Menteri Kerja Raya. Dia membantu golongan miskin dan dia betul-betul tolong kaum India di sini.

"Dua penggal pembangkang di sini, saya tidak tahu sama ada terdapat perubahan," katanya yang mengakui merupakan penyokong BN ketika ditemui baru-baru ini.

Kurang kerjasama?

Chew, yang bekerja sebagai jurujual untuk pengilang mi tempatan, berkata beliau sentiasa mengundi calon BN kerana lebih suka "orang yang boleh bekerja untuk kita".

Peniaga Saari Yahya, 50, berkata pembangunan dan pentadbiran kurang cekap berbanding sebelum ini, satu fenomena yang difikirkan berpunca daripada kurangnya kerjasama antara ahli parlimen dan dua ADUN yang berbeza parti.

Parlimen Sungai Siput terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri - Jalong dan Lintang. ADUN Jalong ialah Loh Sze Yee dari DAP manakala ADUN Lintang ialah Mohd Zolkafly Harun dari Umno.

Seperti Chew, dia juga merindui kelibat Samy Vellu untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur.

"Jalan-jalan bagus kerana dia adalah menteri (kerja raya)," kata Saari.

Ketika menjadi anggota parlimen Sungai Siput, Samy Vellu berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya dan kemudian Menteri Tenaga Dan Telekomunikasi.

Beliau bersara pada 2010 selepas mengetuai MIC selama 31 tahun.

Pada usia 81 tahun, beliau kini berkhidmat sebagai duta khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur dan baru-baru ini menerima gelaran "Tun".

MIC yakin menang

Di ibu pejabat bahagian MIC Sungai Siput, Samy Vellu masih kekal sebagai tokoh penting.

Foto hitam putih beliau meraikan ulang tahunnya dan penggal pertamanya sebagai anggota Parlimen pada tahun 1974 menghiasi dinding di luar bekas pejabatnya.

Ketua Bahagian MIC Sungai Siput, Ilangoven Muthu, 56, berkata parti itu bersedia menghadapi pilihan raya sejak 2015 dengan tujuan memulihkan Sungai Siput sebagai kubu kuat MIC.

Ilangoven (gambar) menyalahkan "sabotaj dalaman" pada pilihan raya 2008 dan 2013 yang menyebabkan parti itu tewas dan bukannya kerana kekuatan lawannya, PSM.

Ilangoven percaya MIC kini kembali kuat dan keahliannya yang lebih besar di Sungai Siput akan membantu kemenangan parti itu pada PRU akan datang.

MIC mensasarkan seramai 12,000 pengundi India yang terdiri daripada kira-kira 21 peratus pengundi. Kaum Cina membentuk kumpulan pengundi terbesar pada 39 peratus, diikuti Melayu sebanyak 33 peratus pengundi.

Ilangoven berkata pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang antara PSM, DAP dan BN akan memberi kelebihan kepada partinya.

"Walaupun kami tewas (pada tahun 2008 dan 2013), kami kekalkan pejabat ini (selama 9 tahun yang lalu) dan menggunakannya sebagai pusat khidmat untuk kebajikan, bantuan pendidikan dan masalah pendaftaran kad pengenalan.

"Malah, Jeyakumar menasihati orang untuk datang berjumpa kami di pejabat BN (ketika mereka menghadapi masalah). Beliau juga tidak membawa pembangunan ke kawasan ini.

"Dan kami telah memberikan lebih 1,400 hamper untuk Deepavali, sementara MP yang ada tidak dapat melakukannya. Dia tidak boleh mendapatkan kehadiran 400 orang (pada programnya) tetapi acara kita menyaksikan kehadiran 600 hingga 700 orang, dan jumlah itu terhad disebabkan kita menghadapi kekangan kewangan.

"(Itulah sebabnya) kami sangat yakin kami akan menang, kami pasti akan menang," katanya.

Setakat ini, DAP menyatakan mereka akan meletakkan peguam dan wakil ADUN Sungkai sebagai calon di Sungai Siput, manakala tidak ada petunjuk jelas mengenai siapa calon MIC di kerusi itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS