Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadar kemalangan di tempat kerja turun 10,824 kes

Kadar kemalangan di industri pekerjaan menurun sebanyak 10,824 kes pada tahun lalu berbanding tahun 2015.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata sebanyak 41,005 kes kemalangan di industri telah dilaporkan pada tahun lalu berbanding 2015 sebanyak 51,829 kes.

"Penurunan kes kemalangan ini juga telah berjaya mengurangkan kadar kemalangan maut bagi setiap 100,000 pekerja yang mana sebanyak tujuh kematian dicatatkan pada 2015 dan jumlah itu berkurang kepada lima kematian pada 2016.

"Kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja juga menurun daripada lima kes pada 2015 kepada tiga kes pada 2016," katanya sempena Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Pekerjaan (MNKKP).

Richard berkata kejayaan menurunkan kadar kemalangan yang dilaporkan adalah hasil pelaksanaan Pelan Strategik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2006-2010 dan Pelan Induk KKP 2011-2015 yang telah dilaksanakan kementerian itu.

"Penurunan ini mencerminkan komitmen tinggi dan usaha bersama kerajaan, majikan dan pekerja dalam menurunkan kadar kemalangan di tempat kerja dan kementerian sentiasa komited dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja tidak diambil ringan," katanya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 24 syarikat daripada pelbagai sektor yang telah merekodkan kecemerlangan dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah dipilih sebagai pemenang.

Berita Harian dianugerahkan sebagai pemenang bagi kategori Anugerah Media manakala Astro Malaysia Holdings Bhd adalah pemenang bagi kategori Anugerah Komunikasi yang menerima piala berserta sijil.

-Bernama

Lihat Komen
ADS