Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PPP: Kenyataan MP Kulai kelirukan rakyat - Azalina
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 9:59 AM
Dikemaskini: 2:05 AM

Kenyataan yang dikeluarkan Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengurangkan Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) kepada hanya 205 orang adalah tidak tepat.

Menteri di Jabatan perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berkata jumlah sebenar PPP sehingga 30 September 2017 adalah seramai 14,342 orang dan bukan seperti yang didakwa.

"Jumlah tersebut adalah termasuk PPP daripada pelbagai kategori yang meliputi PPP (Wakil Jabatan Kerajaan), PPP (Wakil Pertubuhan) dan PPP (Wakil Universiti) di seluruh negara.

"Bagaimanapun, jumlah yang dipetik Ahli Parlimen Kulai hanya tertumpu kepada PPP Wakil Pertubuhan sahaja," jelas Azalina dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam Teo berkata Azalina dalam jawapan bertulis pada 25 Oktober lalu mendedahkan hanya terdapat 205 PPP di seluruh negara, iaitu kurang empat peratus berbanding tahun 2011.

Teo juga mendakwa kekurangan PPP merupakan salah satu punca kegagalan SPR mendaftarkan pengundi baru negara ini.

Menyifatkan kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat, Azalina berkata pelbagai usaha telah dilakukan SPR untuk menarik lebih ramai warganegara yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih.

"Ini termasuklah menyediakan kemudahan karavan SPR, program outreach di tempat-tempat tumpuan orang ramai seperti pusat membeli belah, pusat rekreasi, kawasan penempatan penduduk, Institusi Pengajian Tinggi dan pusat-pusat latihan berkaitan.

"SPR juga sentiasa terbuka menerima jemputan untuk menyediakan kaunter pendaftaran pemilih bagi penganjuran berkaitan," katanya.

Lihat Komen
ADS