Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dahlah fitnah, bodoh pula, kata Ahmad Maslan
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 10:16 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan menafikan bahawa beliau mengatakan kerajaan menaikkan harga petrol bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

Menerusi Twitter hari ini, Ahmad berkongsikan infografik yang memaparkan gambarnya dengan mesej berbunyi "Kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kemalangan jalan raya - Ahmad Maslan".

Ahmad berkata beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebarkan mesej itu di media sosial.

"Pegawai saya juga akan membuat laporan Polis, #PDRM. Kita mesti #PerangiFitnahMediaSosial #SemakSebelumSebar juga #FikirSebelumTular. Saya harap mereka yang terlibat akan diambil tindakan.

"Infografik yang disebar ini fitnah bodoh. Dahlah fitnah, bodoh pula," tegas anggota parlimen Pontian itu.

Menurut Ahmad beliau tidak pernah menyebut kenyataan itu memandangkan harga minyak bukan terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Apa hal saya nak sebut tentang harga minyak, bukan bawah MITI. Harga minyak Malaysia ikut harga minyak dunia, bukan kerajaan yang naik atau turunkan. #SKMM elok tangkap mereka ini!" katanya.

Minggu ini, harga petrol mencapai paras tertinggi sejak sistem mingguan diperkenalkan pada bulan Mac.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, RON95 naik tujuh sen kepada RM2.38 seliter manakala RON97 naik enam sen kepada RM2.66 seliter.

Sementara itu, harga diesel meningkat sebanyak lima sen kepada RM2.25 seliter, juga mencecah paras tertinggi baru di bawah sistem apungan baru.

Lihat Komen
ADS