Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tertuduh cederakan petinju negara bukan kerabat diraja Johor
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Jumaah Majlis Diraja Johor menafikan Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, yang disabit kesalahan mencederakan petinju negara Muhammad Farkhan Mohd Haron pada 2012, kerabat diraja Johor.

Tunku Nick, 32, didapati bersalah menyebabkan kecederaan kepada petinju negara, Muhammad Farkhan Mohd Haron pada 2012.

Rabu lalu, hukuman penjara terhadap Tunku Nick dikurangkan kepada dua tahun namun ditambah dengan denda RM10,000 selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya terhadap pertuduhan mencederakan Muhammad Farkhan.

Dalam satu kenyataan semalam, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, menekankan kenyataannya pada 22 September 2017 bahawa hak dan kuasa melantik, menjadi dan memasukkan seseorang sebagai kerabat diraja Johor terletak kepada Sultan Johor.

Ini, katanya adalah sebagaimana termaktub di bawah Fasal 7 (2) (e) Bahagian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

"Jumaah Majlis Diraja mengesahkan tertuduh (Tunku Nick) tidak pernah dilantik, dijadikan atau diiktiraf sebagai Kerabat Diraja Johor," kata Abdul Rahim.

Beberapa laporan berita, termasuk Malaysiakini, menyatakan Tunku Nick Tazuddin sebagai anggota kerabat diraja Johor.

Sehubungan itu, Malaysiakini memohon maaf di atas kesilapan tersebut.

Lihat Komen
ADS