Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MTEM: Buat aduan jika pramugari dilarang bertudung

Pekerja syarikat penerbangan di negara ini yang didiskriminasi dari segi pemakaian boleh tampil membuat aduan kepada pihak berwajib.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman berkata perkara itu perlu memandangkan cara pemakaian tidak boleh dijadikan kayu pengukur dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kalau ada diskriminasi keinginan untuk menutup aurat perlu diketengahkan kepada pihak berwajib, kepada persatuan-persatuan supaya dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Tidak relevan pakaian menutup aurat dan tidak dalam memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Kena buat aduan supaya boleh dijadikan isu kepada pihak yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat MTEM, Plaza Damansara.

Yazid ditanya mengenai kod pemakaian pramugari yang tidak memakai tudung.

Beliau sebelum itu mengesyorkan kerajaan menggubal akta antidiskriminasi dalam sektor pekerjaan bagi memastikan majikan tidak mengambil pekerja berasaskan kaum dan agama.

Katanya, akta tersebut juga bagi mengekang pekerja bertudung didiskriminasi.

“Akta ini kira tak mahu mana-mana pihak mendiskriminasikan semata-mata amalan agama seseorang atau bangsa seseorang. Realitinya kita akan perhalusi isu halus seperti di bawah karpet yang perlu ditangani,” katanya.

Yazid berkata buat masa ini pihaknya tidak bercadang untuk menyerahkan memorandum berhubung akta tersebut sebaliknya ia adalah cadangan yang mungkin boleh diperhalusi lagi.

“Kalau dipertimbangkan alhamdulillah, kita bekerjasama pihak berwajib dan NGO menekan pihak ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian kaunter hadapan.

Ekoran itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang bertindak demikian.

Semuanya bermula apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung.

Sementara itu MTEM turut mendesak agar Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel-hotel Malaysia (MAH), Samual Cheah Swee Hee agar meletak jawatan kerana tidak memahami prinsip hospitaliti dalam sektor perkhidmatan hotel.

Selain MTEM, 15 lagi NGO menyokong agar diskriminasi terhadap wanita bertudung segera dihentikan.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Patriots Malaysia, serta Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Malaysia (WADI).

Lihat Komen
ADS