Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur dipenjara 10 bulan ceroboh rumah jururawat
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 3:01 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Akibat menceroboh masuk ke dalam rumah seorang jururawat, seorang penganggur dipenjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Haslinda A Raof menjatuhkan hukuman itu terhadap K.Sathiraj, 25, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki ke dalam rumah wanita berusia 24 tahun itu, yang bekerja di sebuah hospital, tanpa kebenarannya.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Sri Pandan Condominium, Jalan Pandan Mewah, di Kuala Lumpur pada 2.15 pagi, 3 Okt lepas mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika mangsa berada di dalam tandas, beliau terdengar bunyi bising di dalam rumahnya.

Seorang kawan lelaki mangsa, yang ketika itu berada di luar rumah mangsa, turut terdengar bunyi itu lalu masuk ke rumah mangsa dan pergi ke dapur untuk memeriksa namun tidak menemui sesiapa.

Rakan lelaki mangsa kemudian masuk ke bilik mangsa dan ternampak kelibat seseorang dan setelah memeriksa dia menemui seorang lelaki tidak dikenali iaitu tertuduh di hadapan pintu utama rumah mangsa.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh telah masuk ke dalam rumah mangsa dengan mengumpil tingkap di bahagian dapur.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kes pencerobohan rumah yang kerap berlaku di negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS