Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tujuh tertuduh lepas bebas kes bunuh Datin di OUG
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan enam lelaki dan seorang wanita atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang ejen hartanah wanita di Taman Overseas Union Garden (OUG), tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membebaskan tujuh individu itu tanpa memanggil mereka membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Dua penganggur, M Pal Ganapathy, 26 dan S Vijendran, 29, didakwa membunuh Datin Wong Siew Ling, 32, di Jalan Hujan Emas 4, OUG, Off Jalan Klang Lama, antara 2 petang hingga 2.30 petang, 6 Julai 2016, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Lima lagi tertuduh, K Sri Kanapathy, 34; Chen Yuen Ming, 41; Chin Kok Leong, 43; K Sattiyarad, 29; dan seorang wanita Liew Lai Chen, 46, dituduh bersubahat membunuh wanita itu di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, kelima-lima mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Azman dalam penghakimannya berkata, kegagalan suami mangsa menampilkan diri boleh menimbulkan dua kemungkinan sama ada beliau mengetahui kes pembunuhan itu tetapi takut untuk hadir atau barangkali terbabit sama.

"Bagaimanapun, dalam keterangan akhir, adik mangsa menyatakan bahawa mangsa ada memberi pesanan supaya adiknya menyerahkan semua dokumen kepada suaminya sekiranya berlaku sesuatu padanya.

"Sekiranya diteliti keterangan itu, sepertinya suami mangsa tidak terbabit tetapi ketidakhadirannya ke mahkamah menjadikan keterangan tidak lengkap mengenai peranan semua tertuduh sehingga boleh menyebabkan kematian mangsa," katanya.

Selepas keputusan itu diumumkan, kesemua tertuduh dan keluarga mereka yang hadir di mahkamah kelihatan gembira dan berpelukan antara sama lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas manakala tertuduh Pal Ganapathy dan Vijendran diwakili peguam Vijey Esvaran dan Loh Suk Hwa.

Sementara itu, lima tertuduh lain, Sri Kanapathy diwakili peguam Nur Hayati Omar; Chen diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent; Chin diwakili Datuk N Sivananthan dan Low Huey Teng; K Sattiyarad diwakili peguam Datin Freda Sabapathy dan Datuk Simon Sabapathy serta tertuduh terakhir, Liew diwakili peguam M Rajakumaran.

Pihak pendakwaan memanggil 27 saksi pada perbicaraan yang bermula pada 11 April lepas.

Pada 6 Julai tahun lepas, seorang ejen hartanah wanita maut di tempat kejadian manakala seorang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka ditembak dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 petang.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS