Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Umno dulu pun diharamkan', ROS ingatkan BERSATU
Diterbitkan:  Nov 17, 2017 9:45 PM
Dikemaskini: 1:53 PM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengingatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengenai nasib Umno yang pernah diharamkan tiga dekad lalu kerana melanggar perlembagaan parti, bagi menekankan betapa serius keadaan yang dihadapi parti itu sekarang.

Ironinya Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno ketika peristiwa itu berlaku pada tahun 1988.

“Pucuk pimpinan BERSATU perlu tahu bahawa perlembagaan parti dan undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang sangat serius.

“Ini pernah terjadi pada tahun 1988 apabila Umno diharamkan kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan,” kata Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Minggu lalu ROS memberi amaran yang BERSATU boleh diharamkan jika terus menggunakan nama ARMADA, singkatan kepada Angkatan Bersatu Anak Muda, bagi pergerakan pemudanya.

BERSATU mendakwa perlembagaan parti itu telah dipinda bagi membolehkan nama itu digunakan, pada mesyuarat agung khas (EGM) pada 2 Novembr 2016.

Namun, Suriyati pada sidang media itu berkata, mesyuarat tersebut bukan EGM tetapi hanya mesyuarat majlis pimpinan tertinggi.

"BERSATU menyatakan telah membuat EGM pada 2 November 2016, (tetapi) hakikatnya itu mesyuarat majlis pimpinan tertinggi sahaja.

"ROS telah meneliti 'Minit Mesyuarat Agung Khas 2016' dan mendapati hanya 12 orang ahli majlis pimpinan tertinggi yang direkodkan hadir," katanya lagi.

Semalam, BERSATU akhirnya akur terhadap amaran ROS untuk tidak lagi menggunakan nama ARMADA sementara menunggu kelulusan daripada ROS.

Pada 8 November lalu, Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Ariffin menuduh Mahathir sengara membenarkan agar pendaftaran Umno dibatalkan ketika itu, bagi mengelakkan pemilihan semula jawatan presiden parti antaranya dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketika pemilihan pertama, bekas perdana menteri itu mempertahan kedudukannya selepas menang tipis, iaitu dengan 43 undi.

Suriyati turut mengingatkan yang setiap parti yang didaftarkan perlu dikendalikan dengan baik.

“Dalam hal ini BERSATU sendiri yang melanggar perlembagaan parti iaitu membenarkan sayap pemuda yang dinamakan ‘ARMADA’ beroperasi sedangkan belum mendapat kelulusan pindaan perlembagaan dan belum mengadakan perhimpunan Agung Tahunan,”katanya.

Lihat Komen
ADS