LAPORAN KHAS A Sivanesan dari DAP percaya reputasinya dan partinya akan membantu usahanya untuk merebut Sungai Siput dari penyandangnya selama dua penggal, Datuk Dr D Michael Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
 
Sivanesan, 61, berkata beliau kini sibuk dalam usahannya itu di Sungai Siput sejak 2016.
 
"Tambahan pula saya selalu menulis artikel di semua empat akhbar berbahasa Tamil - Tamil Malar, Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysia Nanban.
 
"Jika DAP datang (ke Sungai Siput), suka atau tidak, orang akan datang memilih (logo) roket," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Bidor, Sungkai baru-baru ini.
 
Sivanesan berkata ini telah terbukti sekali sebelum ini, dengan memetik bagaimana pendatang baru Teresa Kok dipilih sebagai ahli Parlimen Seputeh selepas penyandangnya Liew Ah Kim meninggalkan DAP pada tahun 1999.
 
Pengundi Cina, yang terdiri daripada 39 peratus pengundi, kebanyakannya akan menyokong calon DAP, kata Sivanesan, manakala pengundi Melayu, yang terdiri kira-kira 33 peratus, kemungkinan akan menyokong BN.
 
Ini bermakna sasaran utama pilihan raya DAP sekarang, jelasnya, adalah untuk merayu kepada pengundi India, yang merupakan kira-kira 20 peratus daripada pengundi di situ.
 
"Katakan undi kaum India berpecah sama rata antara MIC, PSM dan DAP. Digabungkan dengan pengundi Cina, DAP mempunyai peluang yang lebih baik daripada PSM untuk menang.
 
"MIC boleh menjadi 'underdog' di sini," katanya.
 
Kekuatan MIC 'pulih sepenuhnya'
 
Sementara itu, MIC juga optimis mengenai peluangnya, memandangkan sekarang parti itu telah bertambah kuat sejak tempoh bertahun-tahun lalu dari segi keanggotaan.
 
Pengerusi MIC bahagian Sungai Siput, M Ilangoven berkata beliau "sangat yakin" bahawa parti itu akan menawan semula bekas kubu kuatnya, yang dipimpin oleh bekas presiden parti itu, Datuk Seri Samy Vellu selama lapan sehingga 2008.
 
"Kami kini mempunyai 42 cawangan MIC di Sungai Siput, hampir 10 cawangan baru (ditubuhkan) dalam tempoh tujuh atau lapan bulan lepas.
 
"Kami mempunyai 7,400 ahli, manakala 1,200 lagi memohon untuk menjadi ahli," kata Ilangoven.
 
Dengan mengandaikan semua permohonan itu diluluskan, ahli MIC akan merupakan 77 peratus daripada 11,080 pengundi India di Sungai Siput.
 
Pada masa penulisan ini, masih belum pasti sama ada MIC telah memutuskan calonnya, difahamkan lapan orang telah disenarai pendek.

Walaupun parti-parti pembangkang utama memberi laluan kepada PSM di Sungai Siput pada masa lalu, kecuali untuk pilihan raya umum 2004, kali ini, Jeyakumar mungkin berdepan dengan BN, DAP dan mungkin PAS.
 
DAP telah mengumumkan keputusannya untuk meletakkan calon di Sungai Siput selepas PSM mengumumkan bahawa untuk meletakkan enam calon di kawasan yang dimenangi DAP.
 
Jeyakumar kini merupakan satu-satunya ahli parlimen PSM.
 
Bagi Jeyakumar, beliau mengakui bahawa DAP kemungkinan boleh mencalarkan peluangnya untuk mengekalkan Sungai Siput, dengan menarik pengundi Cina.
 
Beliau juga meramalkan bahawa tanpa pertandingan satu lawan satu antara beliau dan BN, kemungkinan BN yang akan menang di situ.
 
"Saya tidak fikir DAP akan menang (kerana) ia tidak akan mendapat undi Melayu, mungkin lebih kurang daripada yang saya dapat (pada pilihan raya sebelumnya).
 
"Pada tahun 2013 saya menang dengan hanya 2,793 undi. (Dengan) DAP memecah undi ini, bermakna BN akan menang," katanya ketika diberitahu tentang analisis Sivanesan.
 
Beberapa pengundi Sungai Siput memberitahu Malaysiakini menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang "terlalu bandar" untuk kawasan separuh bandar itu.
 
Contohnya, penjawat awam, T Vijayanadarajan, berkata majoriti pengundi di Sungai Siput bekerja dalam industri perladangan, yang bukannya sasaran demografi biasa DAP.
 
Selain itu, Vijayanadarajan berpandangan bahawa sesetengah pendundi akan melihat DAP dan Pakatan Harapan sebagai 'pembuli'.
 
"Sekiranya HARAPAN mahu menang di Perak, mereka harus bertimbang rasa. Jika mereka boleh panggil pengerusi Hindraf P Waythamoorthy untuk berbincang, kenapa mereka tidak dapat bertemu dengan PSM?
 
"DAP hanya mahu tunjuk kuasa dengan bertanding di sini... Jika BN menang kali ini, ia kerana kesilapan DAP," tambah Vijayanadarajan.
 
[Baca berita penuh]