Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serangan kimia di Syria, Rusia veto inkuiri PBB dilanjutkan
Diterbitkan:  Nov 18, 2017 12:48 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Rusia pada hari Jumaat mengguna kuasa veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan PBB yang dirangka Jepun untuk melanjutkan selama sebulan lagi inkuiri antarabangsa mengenai siapa yang harus dipersalahkan atas serangan senjata kimia di Syria - hanya beberapa hari selepas Moscow menyekat usaha AS untuk memperbaharui inkuari itu.

Mandat untuk mengadakan inkuiri bersama oleh PBB dan Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW), yang sebulat suara diwujudkan oleh 15 anggota Majlis Keselamatan pada 2015, berakhir pada hari Jumaat.

Sekutu Syria itu menggunakan 11 veto terhadap kemungkinan tindakan Majlis Keselamatan ke atas Syria sejak perang saudara di negara itu tercetus pada 2011. Draf Jepun itu mendapat 12 undi menyokong, dengan China berkecuali dan Bolivia menyertai Rusia menolaknnya.

Resolusi itu memerlukan sembilan undi menyokong dan tidak ada veto oleh Amerika Syarikat, Perancis, Rusia, Britain atau China untuk diterima pakai.

"Rusia membazirkan masa kita," kata duta AS ke United Nations Nikki Haley (gambar) kepada majlis itu.

"Tindakan Rusia hari ini dan beberapa minggu kebelakangan ini telah dirancang untuk menangguhkan, mengalih perhatian dan akhirnya menggagalkan usaha tentang  akauntabiliti ke atas serangan senjata kimia di Syria," kata Haley.

Duta Sweden ke PBB, Olof Skoog meminta majlis itu mengadakan perbincangan tertutup selepas mesyuarat pada petang Jumaat untuk "memastikan kita benar-benar yakin bahawa kami telah menggunakan setiap usaha dan ruang yang ada" sebelum tempoh mandat inkuiri itu tamat.

Siasatan PBB/OPCW mendapati kerajaan Syria menggunakan agen saraf sarin yang dilarang pada serangan 4 April dan juga menggunakan beberapa kali klorin sebagai senjata. Ia menyalahkan militan IS menggunakan gas mustard.

Russia mengenakan kuasa veto pada hari Khamis terhadap resolusi 24 Oktober yang didraf AS untuk memperbaharui inkuiri itu, yang dikenali sebagai Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM).

Semasa perbincangan tertutup pada awal Jumaat lalu, Rusia memberitahu anggota majlis itu bahawa ia tidak dapat menerima draf Jepun, tidak mahu majlis itu menunjukkan kesatuan palsu dan tidak mahu membuang masa semua orang, kata diplomat majlis itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan .

Walaupun Rusia menyokong inkuiri itu, namun ia sering mempersoalkan kaedah dan penemuannya. Serangan sarin pada 4 April terhadap Khan Sheikhoun yang membunuh berpuluh-puluh orang mendorong Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Syria.

Syria bersetuju untuk memusnahkan senjata kimianya pada tahun 2013 di bawah perjanjian yang ditangani oleh Rusia dan Amerika Syarikat. [Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS