Ibu terharu UMP atur hadir konvokesyen mendiang anaknya
Sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga, mendiang N. Kamalanathan berhasrat untuk mengubah ekonomi keluarga, namun nasib tidak menyebelahinya apabila beliau maut akibat kemalangan pada 10 November lalu.
Kamalanathan, 23, sepatutnya menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuteraan Kimia pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-12 di Kuantan hari ini, bersama 2,845 graduan lain.
Ibunya, P. Shoba, 59, yang hadir menerima ijazah itu berkata anaknya meninggal dunia selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda di kilometer 61.5, Jalan Kuala Krai-Gua Musang berhampiran Kampung Batu Jong, Kuala Krai, Kelantan.
"Mendiang hendak ke kedai untuk menggunting rambut sebagai persediaan melapor diri di tempat kerja di Kuala Lumpur. Anak saya memang hendak menjadi seorang jurutera.
"Saya juga menaruh harapan kepada beliau untuk membawa kami keluar daripada kemiskinan, terutamanya selepas kematian suami pada Mei lalu. Tapi semuanya hanya tinggal kenangan," katanya.
Shoba yang bekerja sebagai penoreh getah ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Anumerta dan ijazah mendiang yang disampaikan sendiri Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Canselor UMP selepas tamat istiadat pembukaan majlis konvokesyen itu.
Beliau mengakui walaupun gembira anak yang diharapkan berjaya mencapai kejayaan, namun sedikit sebanyak beliau berasa terkilan kerana Kamalanathan tidak dapat menikmati hari gembira itu.
"Saya juga terharu apabila UMP bersedia mengatur perjalanan saya hadir pada majlis ini, kerana sukar untuk saya datang jika tiada bantuan diberikan," katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Siti Rahmah Rahim, 24, berkata kejayaannya adalah berkat dorongan ibu bapanya yang tidak mahu anak mereka melalui pengalaman hidup susah seperti mereka sebelum ini.
Katanya kejayaan ayahnya Datuk Dr Rahim Sudin, 60, dan ibu Datin Salamah Selamat, 59, menjadi inspirasi kepada beliau untuk tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengejar impian.
Malah, beliau yang mengambil jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia menambah telah memiliki perniagaan membuat kek dan berhasrat mahu membuka kilang makanan sendiri pada masa hadapan.
"Walaupun berbeza daripada bidang yang dipelajari di universiti, saya masih dapat mempraktikkan ilmu yang diperolehi kerana aspek pembelajaran dan kokurikulumnya melatih kami untuk berfikir secara kreatif," katanya.
- Bernama

