Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hotel batalkan majlis Azmin kerana bimbang nama baiknya rosak

Pengerusi Lembaga Pengarah Rangkaian Hotel Seri Malaysia Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir berkata Hotel Seri Malaysia Ipoh membatalkan majlis yang dikatakan akan dihadiri Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana ia bimbang penganjuran acara politik akan merosakkan reputasinya.

Bagaimanapun, Aziz menekankan keputusan tersebut dibuat pengurusan hotel itu tanpa campur tangan daripada pihak lembaga pengarah.

"Pihak pengurusan Hotel Seri Malaysia Ipoh memutuskan sendiri berkenaan pembatalan itu setelah mendapati pada saat akhir Azmin Ali akan hadir dan bimbang program itu akan menjadi ceramah politik yang akan membabitkan hotel itu dengan kontroversi serta merosakkan nama baiknya.

"Oleh yang demikian, bagi pihak rangkaian Hotel Seri Malaysia, saya kesal dan memohon maaf terhadap salah faham yang terjadi di antara pengurusan Hotel Seri Malaysia Ipoh dan pihak penganjur majlis itu," beliau memberitahu Malaysiakini.

Semalam, Azmin mendakwa mesyuarat tertutup dengan PKR Perak di hotel itu terpaksa berpindah selepas pihak pengurusan hotel 'ditekan' untuk membatalkan tempahan penganjur.

Aziz menyangkal dakwaan campur tangan itu dan menyifatkannya sebagai tidak benar.

"Saya suka untuk memberitahu lembaga pengarah tidak pernah campur tangan dalam pengurusan harian Hotel Seri Malaysia, termasuklah urusan tempahan dan perkara-perkara lain.

"Kejadian ini juga tidak ada kaitan dengan sebarang tekanan politik dari mana-mana pihak," kata Aziz yang juga anggota parlimen Kulim Bandar Baru.

Beliau menambah pihak hotel sebelum ini tidak ada masalah mengambil tempahan daripada PKR selagi program mereka tidak melanggar polisi hotel itu.

Rangkaian Hotel Seri Malaysia dimiliki oleh syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).

[Baca berita asal]
 

Lihat Komen
ADS