Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah: Skuad Sayang pastikan BN menang PRU14

Skuad Sayang, yang mempunyai 1.3 juta anggota daripada 21,000 cawangan di seluruh negara, kini bersedia menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Skuad Sayang berkata skuad Wanita Umno itu juga melaksanakan pelbagai usaha dan program dalam memastikan kebajikan rakyat dijaga, sekali gus memenangi hati rakyat.

"Perubahan iklim politik kini semakin sukar diramal dan tidak menentu aturannya, dan kita tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sedia ada.

"Saya pasti di hadapan kita masih ada gelombang yang lebih besar. Kita perlu bersedia untuk melakukan kerja yang lebih mantap dan berkesan di jiwa rakyat.

“Mahu tidak mahu, Wanita harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan Umno menang. Biar dilintang apa pun dugaan, orang Umno mesti terus berdamping dengan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Tahunan Bersama Penaung Skuad Sayang di Kuala Lumpur, hari ini.

Skuad sayang, jenama kekeluargaan

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam pada itu, Rosmah berkata beliau yakin Skuad Sayang mampu melonjakkan status penubuhannya lebih daripada sekadar sebuah entiti kebajikan dan kesukarelawanan.

"Saya percaya Skuad Sayang mampu muncul sebagai suatu jenama baharu iaitu jenama kekeluargaan yang sentiasa mendapat tempat di hati rakyat.

"Melihat perkembangan sosial masa kini, adalah wajar Skuad Sayang memperluas skop kebajikannya agar mencakupi aspek modal insan. Anjakan perspektif ini bertepatan dengan situasi masa kini di mana pembangunan modal insan dilihat bermula di peringkat keluarga," katanya.

Sementara itu, Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, Wanita Umno berpegang kepada tiga prinsip iaitu disiplin, integriti dan konsisten dalam setiap perjuangannya sebagai tulang belakang BN.

"Kebajikan dan kesukarelawanan adalah aspek politik yang dipegang oleh Wanita yang mana kita ikut jejak langkah Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang melaksanakan banyak kerja-kerja kebajikan.

"Semua Wanita mesti menggalas KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) dalam berkhidmat untuk rakyat. Kebajikan bukan bermusim tetapi secara konsisten dan Insya-Allah hasilnya akan membawa kemenangan kepada BN," katanya.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan Anugerah Khas Skuad Sayang 2017 kepada tiga penerima yang telah menabur jasa dalam membantu rakyat.

Mereka ialah Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Presiden One Caring Heart Malaysia Association Selangor and Kuala Lumpur Datin Seri Dr Susan Cheah dan Pengarah Eksekutif Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Nanthini Ramalo.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS