Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar SMK Beluran II ikuti tuisyen percuma anjuran Pemuda Umno

Pelaksanaan Program HELP Tuisyen di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran II tahun ini melalui inisiatif Pemuda Umno Beluran memberi manfaat kepada 93 pelajar di sekolah itu dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menerusi program itu, pelajar berkenaan mengikuti tuisyen percuma bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah yang dikendali guru di sekolah tersebut.

Ketua Pemuda Umno Beluran, Samad Jambri berkata pihaknya menjadi pelaksana program itu dengan kos pelaksanaan RM15,000 daripada Yayasan Pelajaran Mara.

Katanya, inisiatif Umno itu bertujuan menaik taraf hidup masyarakat terutama dalam bidang pendidikan.

"Program tuisyen itu menyasarkan usaha membantu pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, memperoleh keputusan baik dalam SPM," jelas Samad kepada Bernama.

Program tuisyen empat hari itu berlangsung di SMK Beluran II pada Oktober lalu dan program itu juga diisi bengkel motivasi dan pemberian bantuan alat tulis.

Pemuda Umno menerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) mula memperkenalkan program itu sejak 2014 di 145 kawasan Parlimen.

Guru penyelaras program berkenaan, Murni Ibrahim yang juga guru bimbingan dan kaunseling SMK Beluran II, menyifatkan ia sangat membantu dan memberi impak positif kepada sekolah serta pelajar.

Menerusi pelaksanaan kelas tuisyen itu, ujar beliau, pelajar lebih terarah dan teratur dari segi pembelajaran mereka manakala guru pula dapat memberi fokus yang lebih baik ketika sesi kelas tuisyen dilaksanakan.

Beliau berharap ia akan diteruskan tahun hadapan untuk manfaat pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah menghadapi peperiksaan SPM.

Peperiksaan SPM 2017 bermula 6 Nov lepas dan berakhir 4 Disember.

Pelajar Nurul Izzati Dislin menghargai penganjuran kelas tuisyen percuma itu lebih-lebih lagi ia turut diselitkan dengan teknik menjawab soalan dan slot motivasi yang membakar semangat pelajar untuk melakukan yang terbaik.

Katanya, pemberian alat tulis percuma menerusi program itu juga dapat meringankan beban ibu bapanya dalam menyediakan kelengkapan untuknya menduduki peperiksaan SPM. -Bernama

Lihat Komen
ADS