Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib serah sumbangan RM1.9 juta pada Sekolah SHAH di Pekan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.9 juta kepada Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) di Pekan, hari ini.

Najib yang tiba di sekolah itu pada 9.50 pagi turut meninjau keadaan sekolah itu sebelum menyampaikan sumbangan kepada pengetua sekolah Adnan A. Aziz dan meluangkan masa bersarapan pagi dengan pelajar.

Adnan semasa ditemui berkata sumbangan itu akan digunakan untuk menyelenggara bangunan, fasiliti dan asrama sekolah yang buat masa ini mempunyai 583 orang pelajar tingkatan satu hingga lima, dengan kapasitinya boleh menempatkan 600 orang dalam satu-satu masa.

"Sekolah ini dibina pada tahun 1989...jadi sudah sampai masanya untuk kami baik pulih fasiliti yang ada memandangkan kami akan menjadi tuan rumah, Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh kali ke-45 peringkat kebangsaan pada pertengahan tahun depan.

"Keutamaan akan diberikan untuk kerja baik pulih dewan sekolah memandangkan dewan itu akan digunakan sepenuhnya pada hari tersebut selain kemudahan asrama untuk keselesaan pelajar," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pekan, hari ini.

Adnan menambah selain itu, sekolah berkenaan yang merupakan sekolah berprestasi tinggi juga memerlukan kerja pembaikan akibat mendapan memandangkan sekolah itu dibina atas bekas paya, selain berhadapan dengan masalah karat dan pendawaian elektrik.

Beliau berkata, sumbangan juga diterima daripada Alumni SHAH Pekan yang disampaikan oleh pengerusinya Datuk Remie Arman Musa.

Sementara itu, seorang pelajar Uzwatun Hasanah Idham Halid, 17, yang bertuah kerana terpilih antara lapan pelajar untuk bersarapan dengan Najib, berkata perdana menteri ada bertanya kepadanya mengenai cita-citanya.

"Beliau juga tanya apa kemudahan yang diperlukan di sekolah ini sebab sekolah kami menjadi pusat pemindahan banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Tapi yang paling saya suka bila perdana menteri kata akan pastikan sekolah kami berada dalam keadaan baik dan sesuai dengan peredaran masa supaya sesuai dengan pembelajaran abad ke-21," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS