Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sistem amaran cuaca oleh kerajaan P Pinang tindakan proaktif'
Diterbitkan:  Nov 19, 2017 1:18 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Seorang pegawai kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan pandangan bahawa sistem amaran cuaca yang diperkenalkan negeri itu menyalahi undang-undang sebaliknya menggesa kerajaan bertindak "proaktif" untuk menghadapi banjir di masa depan.

"Sistem amaran yang diperkenalkan oleh Pulau Pinang adalah tindak balas proaktif kerajaan negeri untuk mengurangkan kerugian di masa depan yang disebabkan oleh keadaan cuaca buruk," kata Raja Syarafina Raja Shuib dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian mengulas artikel The Star hari ini, memetik pandangan profesor Universiti Malaya, prof Azizan Abu Samah yang mengatakan sistem amaran cuaca yang mahu diwujudkan kerajaan negeri itu tidak sah dari sudut undang-undang dan menyebabkan pertindihan dengan kerajaan pusat.

"Sebaliknya, kerajaan Pulau Pinang ingin mempersiapkan dan melindungi diri kita dari sebarang taufan yang mendatang," kata pegawai kas undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu.

Merujuk kepada banjir buruk yang melanda negeri itu bulan ini, Raja Syarafina berkata "tiada sebarang amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi mengenai ribut yang melanda dan belum pernah dilihat di Pulau Pinang".

"Peringatan amaran merah hanya dikeluarkan pada jam 9.30 malam pada 4 November apabila taufan sudah bermula," kata beliau.

Katanya, kerajaan negeri mencuba segala usaha untuk memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat maklumat dan bersedia untuk menghadapi sebarang keadaan cuaca buruk.

Minggu lalu kerajaan Pulau Pinang dilapor akan mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat pengkaji cuaca dari luar negara bagi mendapatkan amaran cuaca buruk.

Ketua Menterinya Lim Guan Eng berkata Majlis Hijau Pulau Pinang akan mengkaji sama ada negeri itu mampu menubuhkan sistem amaran cuacanya sendiri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS