Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tak terima maklumat dari FBI, kata Paul Low
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 10:25 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang maklumat mengenai deklarasi bertulis yang dibuat oleh agen khas Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Robert Heuchling berkaitan saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, berkata demikian dalam jawapan bertulis di parlimen kepada R Sivarasa (PKR-Subang) pada 16 November.

"SPRM tidak menerima apa-apa maklumat daripada pihak FBI berhubung deklarasi bertulis yang didakwa ditulis oleh pegawai FBI bernama Heuching," kata Low.

Sivarasa dalam soalannya meminta perdana menteri menyatakan sama ada SPRM telah membuka kertas siasatan baru berkaitan deklarasi bertulis oleh pegawai FBI berkenaan dan sekiranya belum mengapa tiada siasatan.

September lalu, Reuters melaporkan Heuchling, dalam deklarasi bertulis di mahkamah, menyatakan bahawa individu yang mempunyai maklumat mengenai 1MDB takut untuk bercakap dengan penyiasat Amerika Syarikat (AS) kerana bimbang keselamatan mereka serta saudara-mara mereka.

Penyiasat AS mengatakan sejumlah AS$4.5 bilion disalahgunakan dari dana milik negara 1MDB oleh pegawai peringkat tinggi dan rakan-rakan mereka, dan DOJ memulakan siri saman sivil dalam dua tahun terakhir untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diseleweng dari 1MDB.

Dana itu juga disiasat di sekurang-kurangnya enam negara membabitkan pengubahan wang haram.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menubuhkan 1MDB pada tahun 2009 dan menjadi pengerusi lembaga penasihatnya sehingga tahun lalu menafikan sebarang salah laku.

Lihat Komen
ADS