Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Polis belum pulangkan dokumen asal 1MDB'
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 10:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Kementerian Kewangan tidak dapat memberitahu berapa lama penyata kewangan 1MDB bagi tahun 2015 dan 2016 dapat disiapkan walaupun firma milik negara itu melantik juruaudit baru seperti dilapor pada Januari lalu.

Ini kerana juruaudit masih memerlukan dokumen yang dirampas oleh polis berhubung siasatan ke atas 1MDB lebih dua tahun lalu, kata kementerian itu dalam jawapan parlimen bertarikh 16 November.

"Pada 8 Julai 2015, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas pelbagai dokumen asal dari pejabat 1MDB.

"Pihak pengurusan 1MDB telah pun berhubung dengan PDRM mengenai pemulangan dokumen asal syarikat.

"Sehingga kini, dokumen asal tersebut belum lagi dipulangkan kepada syarikat.

"Ini telah menyukarkan proses pengauditan laporan kewangan syarikat kerana juruaudit perlu merujuk kepada dokumen asal untuk mengesahkan laporan kewangan.

"Namun demikian, pihak juruaudit 1MDB telah pun memulakan proses pengauditan ke atas penyata kewangan tahun 2015 dan 2016 berdasarkan maklumat sedia ada.

"Jangka masa pengauditan tersebut tidak dapat dipastikan kerana siasatan polis masih berterusan," kata kementerian itu menjawab pertanyaan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh).

Muhyiddin (foto) bertanya mengenai sebab kelewatan laporan kewangan 1MDB dibentangkan di Parlimen.

Namun, kementerian itu menegaskan bahawa tiada keperluan untuk membentangkan laporan kewangan 1MDB di Dewan Rakyat.

"Penyata kewangan 1MDB yang telah diaudit bagi tahun 2009 hingga 2014 boleh dimuat turun di laman web SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Untuk makluman semua laporan kewangan 1MDB ini tidak pernah dan tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat," jelas kementerian itu.

Sebelum ini, kementerian itu menyatakan bahawa SSM melanjutkan tarikh untuk 1MDB mengadakan mesyuarat agung tahunannya dan meluluskan penyata kewangan untuk 2015 dan 2016 sehingga 31 Mac tahun ini.

Semasa dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu, Ernst & Young dilantik sebagai juruauditnya pada bulan Mac 2009, tetapi khidmatnya ditamatkan pada September 2010 sebelum 1MDB menyerahkan penyata kewangan pertamanya untuk 31 Mac 2010.

1MDB kemudian melantik juruaudit KPMG, yang meneliti akaun 1MDB pada 2010, 2011 dan 2012.

Deloitte Malaysia kemudian mengambil alih tugas KPMG selepas khidmat firma audit itu dihentikan pada Disember 2013, sebelum Parker Randall dilantik pada Januari tahun ini.

Lihat Komen
ADS