Kula: Undi India sekali lagi jadi penentu
Naib Presiden Pakatan Harapan M Kulasegaran berkata undi minoriti sekali lagi akan menjadi penentu bagi keputusan pilihan raya umum akan datang.
Berucap di Rumah Terbuka Deepavali DAP Negeri Sembilan di Nilai malam semalam, ahli parlimen Ipoh Barat itu berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menganggap untuk mendapatkan semula undi Cina adalah di luar kemampuannya.
Pada PRU13 lalu, rakyat Malaysia berketurunan Cina memberi sokongan besar-besaran kepada pembangkang.
"Bagi PRU14, Najib menumpukan perhatian kepada kaum India kerana fikir dia boleh memikat mereka dengan pelbagai barangan.
"Tanya pemimpin Hindraf [P] Waythamoothy apa yang terjadi selepas pilihan raya lepas mengenai keupayaan Najib untuk menunaikan janjinya kepada masyarakat India," kata Kulasegaran kepada kira-kira 500 orang hadirin.
Menurutnya, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam mesyuarat majlis kepimpinan gabungan itu, sering-kali menekankan pentingnya undi minoriti dalam PRU14.
"Dalam 61 kerusi parlimen, undi India akan menjadi kritikal terhadap keputusan, memandangkan undi kaum Cina sudah ditentukan manakala undi Melayu berpecah di kalangan beberapa parti.
"Jadi, kamu bakal menjadi penting kepada keputusan PRU14," kata Kula kepada orang ramai.

