Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Bugis: Wakil rakyat DAP gesa Dr M mohon maaf pada Sultan
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memohon maaf kepada Sultan Selangor dan Johor berikutan kenyataannya tentang masyarakat Bugis yang mencetuskan kontroversi, kata wakil rakyat DAP Dr Boo Cheng Hau.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata, Mahathir tidak seharusnya mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasal daripada keturunan 'lanun Bugis' yang baginya tidak sensitif.

Katanya lagi, begitu juga dengan Timbalan Perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan keturunan India bekas perdana menteri itu.

"Penghinaan bernada perkauman itu telah mencetuskan rasa tidak senang, dan dilihat menggalakkan semangat kepuakan dan perpecahan rakyat Malaysia pelbagai keturunan.

"HARAPAN sepetutnya memberi harapan untuk menyatukan rakyat Malaysia pelbagai kaum dengan tidak terikut-ikut dengan retorik perkauman Umno dan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahathir menerima kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataannya itu, termasuk Sultan Selangor yang menyifatkannya sebagai keterlaluan dan cuba menghasut rakyat membenci masyarakat itu.

Namun Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu telah menjelaskan kenyataannya hanya ditujukan kepada Najib dan bukannya kepada masyarakat Bugis secara keseluruhan.

Ahmad Zahid pula mengungkit keturunan Mahathir ketika mendakwanya mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun mentadbir negara.

Malah Najib juga membangkitkan perkara sama ketika membandingkan sumbangannya terhadap masyarakat India di negara ini.

Boo menggesa Mahathir dan Zahid membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kata bekas pengerusi DAP Johor itu lagi, rakyat perlu memilih dan menilai pemimpin berdasarkan kebolehan dan integriti, bukannya keturunan.

"DAP sendiri patut berpegang teguh terhadap prinsip 'Malaysian Malaysia' iaitu politik yang tidak berasaskan kaum," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS