Pemimpin akar umbi BN mengambil kesempatan menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang sedang berdepan masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Cawangan berterabur, bahagian pun entah wujud entah tidak, mahu uruskan parti sendiri pun kelam-kabut, ada hati kononnya nak selamat Malaysia.
“Jangan pula lepas ini mereka tuduh kononnya Umno yang pengaruhi ROS sengaja melambat-lambatkan pendaftaran BERSATU pula.
“Jangan salahkan pihak lain sebab kelemahan dan kegagalan sendiri,” Pengerusi BN Ampang Datuk Ismail Kijo dipetik sebagai berkata oleh Umno Online.
BERSATU berhadapan kemungkinan dibatalkan pendaftaran kerana didakwa melanggar perlembagaan parti dengan tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan.
Sementara itu, Ismail berkata “kekalutan” itu menggambarkan BERSATU sebuah parti yang amat lemah dari segi akar umbi dan hanya bergantung harap pada populariti pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ismail berkata, pemimpin lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.
“Daripada maklumat dalaman ahli BERSATU sendiri, dengarnya Dr Mahathir sendiri pun tidak ambil tahu pergolakan yang berlaku dalam BERSATU, manakala Mukhriz dan Muhyiddin pula sibuk mengatur orang-orang mereka untuk menjadi Ketua Bahagian penaja di peringkat bahagian.
“Jadi ekoran itu berlakulah episod cantas-mencantas dalam BERSATU sehingga menyebabkan beberapa bahagian dan negeri BERSATU yang akhirnya dibubarkan. Ini baru peringkat penaja, sudah begitu dahsyat gerakan cantas mencantas demi kepentingan agenda politik masing-masing.
“Sebab itu saya berkeyakinan, BERSATU takkan kekal lama kerana ia ditubuhkan untuk agenda politik peribadi pemimpin tertentu sahaja, bukan kerana matlamat perjuangan yang sebenar,” katanya kepada Umno Online.
