Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui faktor gaji kecil menyumbang kepada salah guna kuasa dan rasuah di kalangan polis, namun ia bukanlah punca utama.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata, masalah itu lebih didorong kemahuan segelintir anggota polis untuk hidup mewah di luar kemampuan sebenar.

"Isu gaji kecil bukan faktor pendorong utama kepada penglibatan anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam gejala tidak berintegriti seperti rasuah dan salah guna kuasa.

"Penglibatan anggota dalam kes sedemikian lebih terdorong kepada desakan peribadi yang ingin hidup mewah, berbelanja di luar kemampuan...menyebabkan pendapatan dan perbelanjaan menjadi tidak seimbang," katanya dalam jawapan parlimen bertarikh 14 November 2017.

Beliau menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan soal kajian semula skim gaji dan kebajikan polis untuk membendung rasuah dan salah guna kuasa.

Zahid berkata, statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia hanya merekodkan 187 kes melibatkan polis, bersamaan dengan 0.15 peratus daripada jumlah anggota.

Raime (gambar) juga bertanya sama ada kerajaan akan mewujudkan elaun baru buat anggota polis bagi menampung beban kerja, risiko dan tekanan tinggi yang dihadapi.

Zahid berkata, kerajaan menyediakan kemudahan perumahan dan menyemak semula elaun sedia ada, selain memperkenalkan elaun baru selaras dengan beban tugas yang semakin bertambah.

Melalui Sistem Saraan Trasnformatif (SST) yang diwujudkan pada 2013, katanya lagi, kerajaan juga telah menyeragamkan gaji anggota PDRM dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar lebih berdaya saing dan setaraf dengan penjawat awam lain.

"Kerajaan sedar tentang peningkatan kos sara hidup kini yang membebankan penjawat awam, termasuk PDRM," katanya.

Beliau juga memaklumkan PDRM telah mencadangkan agar kerajaan menyelaraskan semula 13 jenis elaun agar bersesuaian dengan keadaaan semasa.