Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAC saran KPT lihat semula tatacara kewangan universiti

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran melihat semula peraturan dan tatacara kewangan universiti bagi menyelaras urusan kewangan di institusi pengajian tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Hasan Ariffin.

Beliau juga berkata peranan Audit Dalaman di setiap universiti juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan pelaksanaan pengurusan perolehan universiti teratur.

Langkah-langkah tersebut adalah antara syor yang dibuat PAC hasil siasatan terhadap pengurusan perolehan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berikutan penemuan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Jun 2015.

Laporan PAC berhubung isu tersebut dibentangkan di Parlimen hari ini.

“PAC mengesyorkan supaya UMK menggunakan prosedur kewangan sedia ada selaras dengan pekeliling perbendaharaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyatan itu, PAC mengadakan mesyuarat prosiding pada 22 Mac 2017 dan memanggil Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed susulan penemuan Jabatan Audit Negara dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2.

Dalam mesyuarat prosiding berkenaan, anggota PAC membangkitkan isu berkaitan perolehan kerja di UMK yang dipecah kecil.

“PAC memandang serius ketidakpatuhan yang berlaku dan meminta KPT untuk memperkukuh serta menyelaraskan peraturan kewangan dan pengurusan perolehan UMK,” kata beliau. -Bernama

Lihat Komen
ADS