Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mekanik didakwa sembunyi wang lebih RM50,000
Diterbitkan:  Nov 20, 2017 2:49 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menolong menyembunyikan atau mengalihkan wang tunai berjumlah lebih RM50,000 milik seorang lelaki pada Mei tahun lepas.

Siau Yoke Min, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman.

Siau didakwa dengan curangnya menolong menyembunyikan atau mengalihkan harta Soh Hao Yee, 22, iaitu wang tunai berjumlah RM56,500 ke dalam akaun CIMB miliknya di Public Bank Cawangan Sri Petaling, Brickfields, di sini pada 5 dan 6 Nov 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim menawarkan wang jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin namun Siau, yang tidak diwakili peguam, memberitahu dia tidak mempunyai penjamin.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah majistret berasingan, Siau dan dua rakannya Kamarulzaman Md Noh, 39, seorang ejen pelancongan dan Lau Chee Chong, 39, seorang jurujual mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba menipu seorang individu, Ooi Eng Beng, 42, menggunakan kad pengenalan milik orang lain bernama Su Ho Siang, 39, dengan tujuan untuk mengambil sebuah telefon di Harvey Norman, yang mana semua tertuduh mengetahui bahawa kad pengenalan Su adalah palsu.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Kondominium Residensi M, Jalan Ampang, di sini pada 12.15 tengah malam, 5 Nov lepas mengikut Seksyen 417/511 dibaca bersama Seksyen 118 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya K.Vasugi tidak menawarkan sebarang wang jaminan kerana tiga-tiga tertuduh, yang tidak diwakili peguam, tidak mempunyai penjamin.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 27 Dis ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS