Paling Popular
Terkini

Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming menafikan dirinya menghina Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dengan mengeluarkan kata-kata kesat ‘Melayu p***mak’ dalam ceramah politik di Ipoh, baru-baru ini.

Nga berkata sebuah video yang mendakwa mengeluarkan kata-kata kesat itu sebenaranya telah sunting.

"Saya tidak pernah berkata 'Melayu p***mak'... Ini tidak masuk akal, ia adalah video palsu yang diedit.

"Ini sangat jelas, sesiapa yang menonton video itu akan tahu bahawa ia palsu," kata ahli parlimen DAP itu kepada Malaysiakini.

Beliau mengulas tindakan Barisan Nasional (BN) Perak dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis mendakwa beliau menghina Zambry dengan kenyataan berbaur perkauman.

Ini berhubung Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama Pembangunan Negara BrandLaureate yang diterima oleh menteri besar itu bagi kategori ‘Game Changer Icon’ pada Ogos lalu.

Dalam video itu, kedengaran Nga mendakwa Zambry menggunakan dana awam untuk mendapatkan anugerah berkenaan pada sebuah ceramah yang dilaporkan diadakan pada 16 Nov.

Video itu kemudian memaparkan rakaman pengucapan Nga, dengan audio yang mendakwa beliau sebagai berkata "Melayu p***mak".

Menurut Nga, beliau mengakui menuduh Zambry membayar untuk mendapatkan anugerah itu, tetapi menafikan kata-kata kesat dan berbaur perkauman itu.

Pengerusi DAP Perak itu berkata beliau akan membuat laporan polis mengenai perkara berkenaan, pagi esok.

"Saya juga berhak untuk saman," katanya.

Lihat Komen
ADS