Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
60 penuntut kolej vokasional Muar keracunan makanan

Seramai 60 pelajar Kolej Vokasional Muar, di Muar, Johor yang mengalami muntah-muntah dan cirit birit sejak semalam dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), akibat keracunan makanan.

Pengarah HPSF Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata mereka dibawa ke hospital itu kira-kira 10 malam tadi dan dua pelajar iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan terpaksa ditahan untuk rawatan lanjut.

“Dua pelajar berusia lingkungan 17 hingga 18 tahun itu ketika ini berada dalam keadaan stabil dan punca keracunan sedang disiasat oleh Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama, di Muar hari ini.

Beliau berkata pihaknya difahamkan, pelajar terbabit mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis makan malam tahunan di kolej tersebut pada Sabtu lepas.

Hidangan kupang, udang dan ketam

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata hidangan kupang secara 'shell out', terdiri daripada kupang, udang dan ketam yang disertakan dengan sambal dipercayai punca pelajar mengalami keracunan.

Siasatan awal mendapati, 380 pelajar dan guru terdedah kepada keracunan, namun hanya kira-kira 100 pelajar terlibat manakala selebihnya berada dalam keadaan terkawal.

Ayob dalam kenyataan di sini berkata makanan tersebut, disediakan oleh dapur asrama kolej itu dan pihaknya turut mengarahkan penutupan dapur berkenaan selama tiga hari hingga esok bagi tujuan siasatan.

Katanya hingga kini, masih ada pelajar yang mengadu sakit perut dan mereka dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri terutama selepas ke tandas.

"Mereka perlu memastikan pengambilan (ubat) oral yang mencukupi bagi mengembalikan hidrasi tubuh dan pengendali makanan juga dinasihatkan untuk menyediakan makanan secara bersih," katanya.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS