Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedah agih kotak Barakah pada 150,000 keluarga

Sebanyak 150,000 keluarga golongan memerlukan di negeri ini mendapat manfaat daripada pemberian kotak Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang mengandungi barangan keperluan makanan susulan pelancaran Program Barakah pada April tahun lepas, membabitkan peruntukan RM15 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata 50,000 keluarga telah menerima bantuan berkenaan manakala 100,000 keluarga lagi akan menerimanya sehinggalah tahun depan.

“Satu kotak Barakah yang mengandungi makanan ini bernilai RM100 dengan berat 25 kilogram. Jadi kita peruntukan RM15 juta bagi bantuan kotak makanan ini kepada 150,000 keluarga untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” kata Mohd Tajudin yang juga Ketua Umno Bahagian Sik kepada Bernama.

Mohd Tajudin berkata pemberian kotak itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri untuk meringankan beban kumpulan sasar itu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sememangnya begitu cakna terhadap kebajikan semasa rakyat terutama golongan miskin bandar, luar bandar dan miskin tegar dengan sentiasa mencari langkah penyelesaian terbaik membantu mereka.

Untuk rekod, Program Barakah mempunyai lima kategori iaitu Barakah Insan, Masyarakat, Usaha Niaga, Anak Muda dan Pendidikan serta Modal Insan dengan pelaksanaan kotak makanan itu termasuk di bawah kategori Barakah Insan.

Sehubungan itu, Mohd Tajudin meminta rakyat negeri ini untuk terus memberi sokongan dan peluang kepada Umno dan BN menerajui negeri ini kerana telah terbukti bekerja kuat melakukan yang terbaik dalam aspek menjaga kebajikan golongan memerlukan supaya nasib kumpulan sasar itu terus terbela dengan pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, ibu tunggal kepada tiga anak Intan Zulina Osman, 31, dari Kampung Kodiang Lama Luar di Kodiang dekat Kubang Pasu yang turut menerima kotak makanan itu berkata pemberian bantuan seumpama itu sangat bermanfaat kepadanya sekeluarga.

Intan Zulina yang turut menjaga ibu bapanya Osman Jusoh, 77, dan Siti Zabedah Saidin, 69, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), berkata ini kerana bantuan makanan seperti gula, minyak, roti dan beras itu sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya membeli barangan keperluan dapur.

“Bagi saya bantuan kotak Barakah ini boleh tahan lebih kurang sebulan. Jadi, saya sudah dapat jimat kos untuk beli barangan dapur ini sebab dah ada, cuma fikir nak beli ikan dan ayam macam itu sahajalah. Boleh dikatakan kotak makanan ini sedikit sebanyak dapat tampung keperluan saya sekeluarga,” katanya.

Mencari nafkah secara berniaga dalam talian, wanita itu berharap kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan BN dapat melaksanakan pemberian bantuan makanan seumpama itu secara berterusan selepas ini kerana ia sememangnya banyak membantu golongan memerlukan sepertinya mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.

-Bernama

Lihat Komen
ADS