Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NUTP pula mahu pelajar cemerlang PT3 tidak dirai

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong saranan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya pihak sekolah berhenti mengadakan majlis keraian bagi murid yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presidennya Kamarozaman Abd Razak berkata, tindakan berkenaan bagi melahirkan sekolah bermotivasi.

“Kalau kita dapat elakkan (adakan keraian) tak bergantung kepada murid cemerlang sahaja, sekolah itu akan lebih bermotivasi secara keseluruhan dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok cemerlang sahaja.

“Murid cemerlang bercampur dengan semua murid lain, dari segi kokurikulum ke, peningkatan mata pelajaran, dari tak tahu membaca kepada tahu membaca, bukan hanya fokus murid cemerlang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kamarozaman mengulas saranan Mahdzir supaya pihak sekolah berhenti mengadakan majlis keraian murid yang mendapat keputusan 6A sahaja dalam UPSR bagi menjaga perasaan murid yang tidak cemerlang dengan perasaan tidak dihargai.

Menurut laporan Berita Harian, Mahdzir berkata pihak sekolah sekolah seharusnya meraikan semua calon UPSR bukan sekadar terpilih atau berkumpulan.

Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata pihak sekolah seharusnya membesarkan peranan majlis keraian itu termasuk memberi penghargaan murid lemah mata pelajaran yang berjaya lulus serta turut memberikannya kepada pelajar pendidikan khas.

“Selama ini ada ahli politik nak beri anugerah kepada murid cemerlang sahaja, ia akan ganggu emosi murid-murid kelas hujung, di peringkat sederhana dan pendidikan khas.

“Murid pendidikan khas terasa hati, dia tak beritahu kita tapi pandangan kita sendiri dalam majlis itu, dia tak dapat apa-apa. Sebab dia memang lemah.

“Kita tak mahu emosi murid-murid lain terganggu kerana niat kita baik menyampaikan majlis tersebut,” katanya.

Menurutnya, selain UPSR, pihak sekolah juga tidak perlu mengadakan majlis keraian pelajar cemerlang untuk Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebaliknya memfokuskan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana mereka berusaha untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

“Untuk SPM dan STPM tidak ada masalah (adakan keraian) untuk PT3 sebaiknya elakkan. Pelajar SPM dan STPM tak apa sebab pelajar itu berlumba-lumba untuk kerjaya lagipun sudah matang,” katanya.

Untuk rekod seramai 443,794 calon menduduki UPSR tahun ini membabitkan 8,085 pusat peperiksaan seluruh negara. Keputusan peperiksaan itu akan diumumkan pada Khamis ini.

Lihat Komen
ADS