Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau semua tunggu, MP BN akan tahu - Khalid Samad
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 2:37 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa sebahagian anggota parlimen pembangkang ponteng ketika undi belah bahagian terhadap Bajet 2018 di parlimen semalam.

Beliau berkata anggota parlimen BN tidak mengetahui rancangan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, termasuk sebahagian anggota parlimen pembangkang sendiri.

"Semua tak sangka kami akan lakukan belah bahagi atau mengundi. Bukan sekadar MP-MP BN tak tahu, sebahagian MP-MP HARAPAN pun tak tahu. Terpaksa begitu," katanya.

Khalid berkata sekiranya anggota parlimen HARAPAN menunggu di dalam dewan, lawan mereka akan mengetahui rancangan tersebut.

"Kalau semua tahu dan semua tunggu MP-MP BN akan dapat menghidu ada sesuatu.

"Tetapi bila dilihat jam 6 petang tak semua MP HARAPAN ada, mereka pun rasa selesa dan selamat. Maka mereka pun balik ke hotel. Lebih ramai mereka yang balik daripada pihak kami.

"Dan pihak kami yang balik pun ada program dan urusan lain. Bukan ponteng," jelasnya menerusi Facebook.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Bajet 2018 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi peringkat jawatankuasa dengan majoriti hanya satu undi.

Bajet berkenaan diluluskan dengan 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain membantah.

Manakala dua orang anggota parlimen berkecuali daripada mengundi.

Khalid berkata, 'serangan' dilakukan anggota parlimen HARAPAN itu menyebabkan kira-kira 40 anggota parlimen BN "terperangkap" di dalam dewan.

"Rakan-rakan mereka pun bukan semua yang hadir bersama kali ini. Daripada lapan yang hadir dua berkecuali. Pasti mereka turut bengang dengan sikap tak menentu rakan mereka, tak boleh diharap!" katanya merujuk wakil daripada PAS.

Katanya, wakil rakyat BN diselamatkan oleh mereka yang berada di luar dewan untuk mencukupkan undi dengan dibantu dua anggota parlimen yang 'istiqamah' berkecuali'.

"Hatta maka dengan itu, alkisah disebut bagaimana kerajaan sang buana lanun Bugis diselamatkan dari kehinaan oleh rakan yang tak sepenuhnya setia.

"Maka akan teruslah penderitaan rakyat di bawah BN buat masa ini," katanya.

Lihat Komen
ADS