Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Raja Kamarul: Kaji semula hubungan Malaysia - Arab Saudi
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 3:23 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyampaikan ucaptamanya di Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 (WIEF), di Kuching, Sarawak dan membicarakan beberapa konflik di dunia Islam hari ini, tetapi senyap mengenai Yemen.

Beliau mengingatkan mengenai kematian dan kemusnahan yang masih berterusan di Iraq dan Syria, serangan IS di Marawi, Filipina dan tragedi kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar.

“Penderitaan dan kekejaman yang berlaku tidak boleh dibiarkan berleluasa.

“Sebagai umat Islam, kita digesa supaya memerangi ketidakadilan dan kejahatan, dan ini adalah tugas suci yang dipertanggungjawabkan kepada kita,” katanya.

Najib yang juga Penaung Yayasan WIEF, berkata negara Islam yang merentasi masyarakat antarabangsa dan Dunia Islam, mempunyai peranan dalam menangani cabaran itu.

Beliau berkata usaha Malaysia membantu menyelesaikan isu Rohingya mula membuahkan hasil.

Perdana menteri juga menjelaskan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila baru-baru ini, telah memberikan komitmen untuk mencari penyelesaian krisis di Rakhine.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Manila, negara terbabit komited untuk menangani ancaman keganasan dan ekstremisme melalui perkongsian maklumat dan kerjasama penguatkuasaan undang-undang, katanya.

“Ini adalah usaha yang telah lama Malaysia perjuangkan, dan saya gembira usaha kami untuk memerangi militan Daesh telah diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Mengulas ucapatama itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad, berkata Najib cuba menafikan penglibatan Malaysia dalam konflik Yemen berusia dua tahun itu yang telah menyebabkan ratusan ribu orang kebuluran dan mengalami kolera.

Kamarul Bahrin memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat bukti - dari bendera Malaysia yang berkibar pada persidangan media gabungan tentera yang dipimpin oleh Saudi dalam laporan Bangsa-Bangsa Bersatu - bahawa Malaysia menyokong Arab Saudi dalam konflik tersebut.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada awal tahun ini, pegawai tentera dari Malaysia, UK, AS dan Perancis dikesan berada di ibu pejabat gabungan tentera pimpinan Saudi di Riyadh.

Beliau berkata walaupun pasukan tentera dan senjata Malaysia mungkin tidak berada di Yemen, terdapat bukti bahawa negara ini menyokong pasukan penyerang yang dipimpin oleh Saudi ke atas sebuah negara yang berdaulat.

"Kita tahu bahawa Yemen bukan sahaja mengalami kemusnahan, tetapi juga kekurangan zat makanan dan wabak kolera, kita sebahagiannya bertanggungjawab kerana terlibat dalam gabungan yang dipimpin oleh Saudi," katanya.

Walaupun mengiktiraf usaha Putrajaya membantu masyarakat Rohingya, Kamarul Bahrin berkata skala kemusnahan dan kematian di Yemen jauh melampaui apa yang berlaku di Myanmar pada masa ini.

Kamarul Bahrin membuat spekulasi bahawa keputusan Najib untuk mengabaikan krisis kemanusiaan di Yemen mungkin disebabkan hubungan peribadinya dengan Arab Saudi.

"Komitmen Malaysia kepada Arab Saudi menjadi semakin tidak masuk akal, semuanya disebabkan oleh hubungan peribadi seorang pemimpin, yang mengheret kepada penglibatan kita di Yemen," katanya.

Memandangkan Israel kini terbuka untuk membantu Arab Saudi dalam memerangi pengaruh Iran ke atas Asia Barat, Kamarul Bahrin menyoal sama ada kerajaan akan menimbang semula hubungannya dengan Arab Saudi.

"Saya ingin bertanya kepada kerajaan Malaysia di mana kita tetapkan garis sempadan sekarang?

"Israel kini mahu menggunakan Arab Saudi sebagai proksi terhadap Iran. Adakah kita mahu terlibat?" soalnya.

Semasa temubual dengan laman web milik Arab, Elaph, Khamis lalu, ketua pasukan tentera Israel, Gadi Eisenkot berkata Israel dan Arab Saudi "bersepakat" mengenai ancaman Iran.

"Arab Saudi tidak pernah menjadi musuh Israel - mereka tidak pernah memerangi kami dan kami tidak pernah memerangi mereka," kata Eisenkot.

Lihat Komen
ADS