Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga Indonesia dipenjara 8 tahun kerana sokong IS

Seorang tukang jahit warga Indonesia hari ini dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan iaitu menggalakkan, menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Rino Kaswara Kasmar, 34, dan penjara tiga tahun untuk pertuduhan ketiga dan memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Jun 2017.

Dalam penghakimannya, Azman berkata tertuduh adalah rakyat Indonesia yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki tetapi sebaliknya melakukan kesalahan serius.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan melakukan sumpah setia (berbai'ah) kepada kumpulan pengganas itu melalui aplikasi telegram dalam kumpulan yang diwujudkan tertuduh sendiri.

Dia melakukan kesalahan itu di Medan Niaga, Jalan Pasar ,Slim River, Perak, antara 11.36 malam hingga 11.39 malam, 2 Mei lalu mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan itu.

Rino Kaswara juga didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas Mujahideen Indonesia Timur (MIT) dan kumpulan Daesh melalui kumpulan Telegram atas nama Rijal Mujahideen Minangkabau di tempat sama antara 2 Mei hingga 2 Jun lalu, mengikut Seksyen 120G(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda.

Dia juga dituduh memiliki telefon bimbit yang mengandungi 83 keping gambar yang merupakan item-item berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan Daesh.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Bazar Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Jalan Pasar, Slim River, kira-kira 12.45 tengah hari, 12 Jun lalu mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan berkaitan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ibu yang uzur di kampung serta dia juga telah insaf atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon hukuman pemenjaraan berbentuk pengajaran kerana ia adalah kesalahan serius dan perlu menjadi pengajaran kepada tertuduh serta orang awam. -Bernama

Lihat Komen
ADS