Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hujan dan tanpa khemah, protes harga minyak diteruskan
Diterbitkan:  Nov 21, 2017 5:06 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Walaupun dalam hujan lebat dan tanpa tempat berteduh, protes Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap kenaikan harga minyak di luar parlimen tetap diteruskan, kata Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Shazni Munir Mohd Ithnin.

"Hujan lebat ketika ini. Kami masih meneruskan flashmob di depan Parlimen walau tanpa tempat berteduh. Tanpa khemah dan kami akan terus di sini," katanya dalam kenyataan.

Dalam satu rakaman video, sekumpulan pegawai DBKL dilihat membuka semula satu-satunya khemah peserta yang ada di situ.

Turut berada di situ adalah dua anggota parlimen dari PKR, iaitu Gooi Hsiao Leung (Alor Setar) dan Sim Tze Zim (Bayan Baru).

Dalam rakaman itu, Gooi dilihat meminta pegawai DBKL membiarkan khemah tersebut di situ, ekoran hujan.

Namun pegawai DBKL tetap membuka khemah itu.

Shazni berkata, peserta protes akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kerana "tidak mahu bergaduh" dengan mereka.

"Kami hanya mahu satu, subsidi RM1 bilion (untuk minyak) dikembalikan dan harga minyak turun," katanya.

Shazni memaklumkan setakat ini sejumlah lapan peserta masih kekal di sana, berbanding 20 orang semalam.

Protes tersebut bermula tengah malam semalam dan dijangka berakhir pada jam enam petang Rabu ini, apabila harga bagi RON95, RON97 dan diesel untuk minggu berikutnya diumumkan.

Ketua Polis Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, polis telah menasihatkan peserta agar menamatkan protes itu dan akan terus memantau mereka.

Ketika protes bermula semalam, polis turut mengarahkan mereka mengemaskan empat khemah yang dipasang.

"Kalau nak pasang khemah, buat di Padang Merbok. Takut DBKL datang," kata seorang pegawai polis.

Protes tersebut diadakan selepas harga minyak mencatat rekod tertinggi - RON95 (RM2.38 seliter), RON97 (RM2.66 seliter) dan diesel (RM2.25 seliter) - sejak kerajaan mula memperkenalkan sistem harga apungan mingguan.

Lihat Komen
ADS