Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Perak juga akan tubuh pusat keamanan global

Penubuhan Pusat Islam, Keamanan Global dan Tanpa Keganasan ASEAN bukan dibuat atas desakan pihak luar tetapi ia merupakan komitmen kerajaan dalam usaha membanteras kegiatan militan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pusat yang bertempat di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar itu akan menjalankan kajian imperikal dan akademik yang berkaitan isu keganasan.

"Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang menggugat keselamatan atau pertahanan negara dan kejayaan kita termasuklah membuat penangkapan, malah saya sendiri mengambil serius perkara ini.

"Pusat ini akan mengumpul bijak pandai dan para pengamal dalam sektor keselamatan serta pertahanan bagi melakukan wacana intelektual supaya dapat jalan penyelesaian dalam menangani isu keganasan bukan hanya untuk kita, malah pihak antarabangsa," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia keempat (WCIT) 2017 anjuran USAS di Ipoh, hari ini.

​​​​​​​Menurut Ahmad Zahid penubuhan pusat tersebut bagi menangani isu keganasan adalah yang ketiga selepas Pusat Serantau Digital Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) di Bukit Aman dan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya.

"Malaysia berpengalaman dalam mendepani deradikalisasi terhadap pengganas komunis daripada segi ideologi dan psikologi yang kejayaannya pada tahap 97.5 peratus dan pendekatan ini (deradikalisasi) turut dilakukan apabila kita menghadapi pengganas militan terutama Jemaah Islamiyah serta yang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pusat yang baru diwujudkan di USAS itu akan menjadi institusi ikonik bertaraf global.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk Pusat Islam, Keamanan Global dan Tanpa Keganasan ASEAN bagi pelbagai kegunaan selain kos penubuhan.

Berpusat di Kuala Kangsar

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam ucapan penutupannya, berkata pusat di Kuala Kangsar itu akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Beliau berkata penubuhan pusat itu merupakan komitmen Perak untuk melaksanakan peranannya dalam mewujudkan rangkaian dari seluruh dunia untuk menggalakkan keamanan global terutamanya dalam lingkungan konteks dan kerangka bagi ASEAN.

"Kami turut mengajukan permohonan kepada Tan Sri Dr Surin Pitsuwan, bekas Setiausaha Agung ASEAN, untuk menerajui pusat ini selaku Pengerusi yang pertama.

"Kelayakan dan dinamisme beliau yang terbilang semestinya akan menambah nilai dalam merealisasikan objektif pusat ini,” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS